Inisiatif bas sekolah percuma akan diperluaskan - Abang Johari

Abang Johari bersama Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin menaiki bas pada Pelancaran Inisiatif Bas Sekolah Percuma dan Bilik Darjah Pintar di SJK Chung Hua No. 6, hari ini. - Gambar Bernama
KUCHING: Inisiatif bas sekolah percuma yang dilaksanakan sebagai projek perintis di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua No. 6 di sini akan diperluaskan ke lebih banyak sekolah susulan kejayaannya mengurangkan bilangan kenderaan persendirian di kawasan sekolah serta meningkatkan tahap keselamatan murid.
Ringkasan AI
- Inisiatif bas sekolah percuma di SJK Chung Hua No. 6 akan diperluaskan ke lebih banyak sekolah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekolah dan meningkatkan keselamatan murid.
- Bas sekolah dilengkapi dengan teknologi pengesanan dan sistem komunikasi dua hala untuk memantau pergerakan bas serta berhubung dengan anak-anak secara langsung, meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap keselamatan.
- Program ini tidak hanya memberi manfaat keselamatan kepada murid, tetapi juga membantu ibu bapa mengurangkan kos menghantar anak ke sekolah dan menyokong penggunaan pengangkutan awam serta pembangunan bandar lestari.
"Melalui sistem pendigitalan ini, ibu bapa boleh memantau pergerakan bas serta berhubung secara langsung dengan anak-anak sepanjang perjalanan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bas Sekolah Percuma dan Bilik Darjah Pintar di sini, hari ini.
Abang Johari berkata selain aspek keselamatan, inisiatif itu turut memberi manfaat langsung kepada ibu bapa dengan mengurangkan keperluan menghantar dan mengambil anak ke sekolah serta membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.
"Kerajaan negeri menanggung sepenuhnya kos pelaksanaan program termasuk penyediaan bas dan bayaran berkaitan bagi memastikan kelangsungan serta keberkesanan inisiatif ini.
"Inisiatif ini juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam selamat dan cekap, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian serta menyokong pembangunan bandar lebih lestari," katanya.
Tambah beliau, peluasan program itu akan dilaksanakan secara berperingkat ke sekolah-sekolah lain, termasuk di kawasan bandar dan luar bandar, dengan pendekatan disesuaikan mengikut keperluan setempat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


