NATIONAL
Inisiatif hijau ASEAN berpotensi jana pendapatan tambahan AS$300 bilion menjelang 2030 - Tengku Zafrul

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata strategi pelaburan hijau Malaysia telah menjana hampir 1,000 projek yang diluluskan pada 2024. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: ASEAN berpotensi menjana pendapatan tambahan sebanyak AS$300 bilion daripada aktiviti hijau setahun dan memanfaatkan nilai baharu sehingga AS$1.5 trilion menjelang 2030 melalui pemerkasaan pelaburan hijau dan kerjasama rentas sempadan dalam grid tenaga serantau, pasaran karbon dan insentif tenaga bersih. (AS$1=RM4.23)
Ringkasan AI
- Potensi ekonomi hijau ASEAN: ASEAN berpeluang menjana tambahan AS$300 bilion setahun daripada aktiviti hijau dan sehingga AS$1.5 trilion menjelang 2030 melalui pelaburan hijau, grid tenaga serantau, pasaran karbon, dan insentif tenaga bersih.
- Inisiatif Malaysia dan ASEAN: Malaysia telah meluluskan hampir 1,000 projek hijau pada 2024 dengan pelaburan RM20.8 bilion, sementara ASEAN menggerakkan strategi karbon neutral melalui pemerkasaan pasaran karbon, teknologi penyimpanan karbon (CCS/CCUS), serta peralihan tenaga yang adil.
- Perkembangan ekonomi digital ASEAN: Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) ASEAN bertujuan meningkatkan ekonomi digital kepada AS$2 trilion menjelang 2030, dengan pertumbuhan pesat dalam sektor teknologi kewangan, e-dagang, dan kecerdasan buatan.
"Ini termasuk Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Mampan, Garis Panduan Pelaburan Mampan dan Greening Value Chain Playbook," katanya dalam ucaptama pada Forum Perniagaan ASEAN 2025 di sini hari ini.
Ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.
Tengku Zafrul berkata terdapat juga strategi ASEAN untuk mencapai karbon neutral, dengan inisiatif seperti menyelaraskan pasaran karbon dan piawaian pengukuran, memacu teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCS/CCUS) serta mewujudkan rangka kerja peralihan yang adil untuk pekerja dan komuniti.
Beliau berkata ini memudah cara sektor korporat untuk beralih ke arah pertumbuhan yang mampan dan mesra iklim.
"Mungkin, yang paling bersifat transformatif ialah Grid Tenaga ASEAN (APG). Dengan 18 projek tenaga rentas sempadan dalam perancangan dan lebih 60 tapak tenaga boleh baharu telah dikenal pasti, APG menjadi projek utama dalam peralihan tenaga lestari ASEAN," katanya.
Merujuk kajian, beliau berkata APG berpotensi menyumbang sehingga US$3 trilion kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2050 dan mewujudkan 1.45 juta pekerjaan di seluruh rantau.
Kejayaan APG akan bergantung pada pembiayaan strategik daripada bank-bank seperti Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia, memastikan kepusatan ASEAN dan autonomi serantau.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) ASEAN, kini dalam rundingan lanjutan, menyasarkan untuk meningkatkan ekonomi digital ASEAN kepada AS$2 trilion menjelang 2030, menghubungkan e-dagang, teknologi kewangan, kewangan digital dan penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) merentasi sempadan.
Pada 2024, katanya sektor digital ASEAN mencatatkan keuntungan yang meningkat tiga kali ganda kepada US$11 bilion dan menarik pelaburan baharu dalam pusat data bernilai lebih US$30 bilion.
"Lonjakan ini didorong oleh populasi golongan muda, pembandaran pesat dan kerjasama awam-swasta yang kukuh.
"Misalnya, memanfaatkan potensi 334 juta golongan wanita, kira-kira separuh daripada populasi ASEAN, boleh menyumbang sehingga AS$2.3 trilion kepada KDNK serantau," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami