Inisiatif 'Negaraku' bertunjangkan semangat cintakan Malaysia yang bakal dilancarkan kerajaan akan mendorong rakyat mengetepikan sebarang perbezaan, bersikap positif dan yakin terhadap negara mereka sendiri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan penglibatan segenap lapisan rakyat Malaysia penting dalam menghidupkan semangat 'Negaraku' itu.

"Yang pasti ialah ia akan melahirkan sifat-sifat terbaik masyarakat kita tanpa mengira kaum atau ideologi," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Memetik kata-kata Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Salleh berkata perpaduan adalah asas kepada kekuatan Malaysia.

Menteri itu menarik perhatian bahawa Malaysia masih dianggap muda namun mampu menyaingi banyak gergasi dunia dalam pelbagai bidang.

"Tidak syak lagi kuncinya terletak dalam perpaduan dan kerjasama rakyatnya, dan jangan sesekali kita lupa bahawa kita harus teguh bersatu walau dikecam mereka yang berniat buruk," kata Salleh.

Beliau berkata agak malang apabila pelbagai kata sangka buruk yang dilemparkan sedikit sebanyak menggoyah kesetiaan dan kebanggaan segelintir masyarakat terhadap negara ini.

"Kita semua harus bangkit dan tunjukkan sifat kasih rakyat Malaysia. Jangan biarkan ia pudar dan berikan inspirasi dalam mengekalkan kegemilangan negara ini," katanya.

Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 tahun ini, kerajaan akan melancarkan inisiatif 'Negaraku' bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat cintakan negara dalam diri rakyat.

Salleh seterusnya berkata Malaysia berdiri megah hari ini di sebalik menempuh pelbagai cabaran dan hari duka.

"Kita telah melihat detik-detik hitam berlaku namun tetap berpegang pada semangat 'Negaraku'. Malah, jiwa anak Malaysia lebih kukuh sekarang.

"Kita bijak menilai apa yang benar atau palsu, lebih memahami antara satu sama lain dan lebih berani untuk tampil mempertahan maruah negara, tanah air kita bersama," katanya.

Beliau mengajak rakyat supaya terus bersama menyemarakkan lagi semangat 'Negaraku' dan memacu negara ke peringkat lebih tinggi.

Najib dalam kenyataannya mengenai inisiatif 'Negaraku' semalam berkata Salleh diberi tanggungjawab menjalankan program itu.

-- BERNAMA