MALAYSIA

Inisiatif sifar sisa Wilayah Persekutuan perlu sokongan menyeluruh - Datuk Bandar KL

Faida Rahim 21/09/2025 | 06:15 MYT
Maimunah (tengah) berharap pendekatan ini dapat menjadi budaya dalam kalangan warga kota dan semua pihak berkepentingan. -Foto Astro AWANI/Abdul Wafi Norazmi
KUALA LUMPUR: Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Sharif menyeru semua pihak termasuk penduduk tempatan, pelancong domestik dan antarabangsa agar bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan inisiatif sifar sisa di Wilayah Persekutuan.


Ringkasan AI
  • Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Sharif menyeru semua pihak termasuk penduduk dan pelancong untuk bersama-sama menjayakan inisiatif sifar sisa di Wilayah Persekutuan melalui pendekatan 4R: Rethink, Reduce, Reuse, dan Recycle.
  • Beliau menekankan kepentingan menilai semula penggunaan bahan, pembungkusan, dan sumber bahan mentah bagi memastikan pembangunan mampan serta mengurangkan jejak karbon.
  • Pendekatan ekonomi kitaran dan tindakan segera terhadap perubahan iklim diharap dapat menjadi budaya warga kota demi menjadikan Kuala Lumpur bandar raya bersih, hijau dan berdaya tahan.


Beliau menegaskan bahawa usaha menjaga kebersihan ibu negara serta mengurangkan penjanaan sisa perlu dilaksanakan secara menyeluruh melalui pendekatan 4R: Rethink, Reduce, Reuse dan Recycle.

Reduce, reuse, recycle, itu sudah biasa. Tapi yang pertama sekali ialah rethinking. Apa-apa yang kita buat, kita kena rethink (menilai semula) sama ada dari segi pengguna ataupun pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Zon Sifar Sisa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pusat Penjaja Jalan Raja Muda Abdul Aziz (TPCA), di sini, pada Ahad.

Jelas Maimunah lagi, pendekatan rethinking bukan sahaja terhad kepada pengguna, malah perlu diterapkan dalam kalangan penggiat industri dan pemaju.

Katanya, aspek seperti bahan pembungkusan, sumber bahan mentah dan kesan karbon perlu dinilai semula bagi memastikan pembangunan yang mampan.

“Kalau packaging (pembungkusan) boleh dikitar semula, bagus. Tapi kita juga kena fikir dari mana datangnya bahan itu, adakah dari sumber tempatan atau perlu diimport?

"Sebab kalau import, ia menyumbang kepada jejak karbon yang lebih besar,” jelas beliau.

Beliau turut menekankan kepentingan ekonomi kitaran sebagai landasan kepada pelaburan dan pembangunan industri di Kuala Lumpur, selaras dengan keperluan mendesak untuk menangani perubahan iklim.

Climate change is a reality. Kita tak boleh tunggu lagi. Kita perlu ambil tindakan segera ke arah climate action,” katanya sambil menambah bahawa program kebersihan yang dilaksanakan turut menyokong matlamat ekonomi hijau dan lestari.

Maimunah berharap pendekatan ini dapat menjadi budaya dalam kalangan warga kota dan semua pihak berkepentingan, demi menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang bersih, hijau dan berdaya tahan.









#inisiatif sifar sisa #Wilayah Persekutuan #Datuk Bandar #Maimunah Sharif