Seorang jururawat yang mengecam keterangan pakar perubatan dalam inkues Muhammad Adib Mohd Kassim telah menarik balik dan memadamkan hantaran yang dibuat menerusi akaun Facebooknya yang dikenali sebagai Cik Miera.

Seorang jururawat yang mengecam keterangan pakar perubatan dalam inkues Muhammad Adib Mohd Kassim telah menarik balik dan memadamkan hantaran yang dibuat menerusi akaun Facebooknya yang dikenali sebagai Cik Miera.

Wanita yang mengaku telah merawat Muhammad Adib sejak hari pertama itu turut merayu kepada orang ramai supaya berhenti menyebarkan hantaran yang dibuat selepas Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam memberi keterangan kepada Mahkamah Koroner Shah Alam pada Jumaat lalu.

Dia mendakwa, berdasarkan pemerhatian sebagai seorang jururawat, kejadian yang menimpa Muhammad Adib akibat dipukul dan bercanggah dengan laporan bedah siasat yang dijalankan Ahmad Hafizam pada 18 Disember tahun lalu.

"Kepada pengikut saya, berdasarkan kenyataan kepada arwah (Muhammad Adib) saya merayu kepada mereka yang melakukan screenshot (tangkapan skrin) dan menyebarkan kenyataan tanpa kebenaran saya tolong padam.

"Saya tidak bermaksud untuk memberikan kenyataan yang salah dan menyebabkan salah faham. Saya akan memberikan kerjasama kepada mereka yang terlibat dalam inkues dan berdasarkan pemerhatian saya bersama kita berdoa agar ALLAH mempermudahkan segalanya," katanya.

Dipercayai tindakan wanita tersebut yang dipercayai bertugas dengan Institut Jantung Negara (IJN) itu menarik balik kenyataannya selepas dihubungi oleh Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad yang meminta dia memberi keterangan dalam inkues tersebut.

Dalam pada itu, Sinar Harian telah menghubungi pihak IJN bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara itu telah dimaklumkan bahawa hantaran yang dibuat oleh wanita tersebut adalah kenyataan peribadi dan tiada sebarang tindakan diambil.