Pemilik akaun laman sosial Facebook, 'Cik Miera' hari ini memohon maaf di hadapan Mahkamah Koroner Shah Alam berhubung kenyataan yang dimuat naik berhubung punca kecederaan Allahyarham anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Siti Syafikah Amira Mohd Rasani, 27 atau dikenali sebagai 'Cik Miera' yang merupakan jururawat di bilik pembedahan Institut Jantung Negara (IJN) menzahirkan permohonan maaf itu kerana terlalu beremosi dan mengikut perasaan berhubung status yang dimuat naik pada 23 Mac lalu sehingga menimbulkan kekecohan.

"Kepada Doktor yang saya tujukan, saya minta maaf kerana bertindak terlalu emosi tanpa mengetahui fakta sebenar, minta maaf kepada semua sehingga berlaku kekecohan", katanya kepada Mahkamah Koroner pada Rabu.

Jelasnya, kenyataan itu juga berdasarkan penceritaan rakan setugasnya, yang dikenali sebagai Ashraff dan merupakan salah seorang saksi bagi prosiding inkues ini.

Antara perkara lain yang mendorong pihaknya berbuat demikian termasuk melihat sendiri kesedihan yang dialami keluarga Muhammad Adib termasuk rakan anggota bomba tersebut menyebabkan beliau terlaku mengikut perasaan.

Beliau turut mengakui tidak mempunyai sebarang kepakaran dalam menentukan punca kecederaan dan kematian Allahyarham Muhammad Adib sebaliknya ia merupakan di bawah bidang kuasa Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang memberikan keterangan pada Jumaat lalu sebagai saksi ke-24 .

Beliau yang hadir sebagai saksi ke-25 hari ini hadir bagi memberi keterangan pada Prosiding Inkues yang masuk hari ke-18.

Jumaat lalu, Amira menerusi akaun FB 'Cik Miera' telah memuat naik status yang mempertikaikan kenyataan Pakar Forensik HKL Ahmad Hafizam Hasmi, sewaktu prosiding itu, sebagai berbohong apabila mengatakan punca kecederaan Muhammad Adib bukan kerana dipukul sehingga mengakibat kekecohan serta kecaman terhadap Pakar Forensik berkenaan.

Setakat ini pihaknya juga telah dipanggil oleh pihak pengurusan Institut Jantung Negara (IJN) bagi mengemukakan penjelasan berhubung perkara itu namun tiada sebarang tindakan dikenakan terhadapnya.