[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Inkues belum selesai, henti perhimpunan, elak subjudis - Peguam keluarga Zara Qairina

Umavathi Ramayah 13/09/2025 | 07:15 MYT
Barisan peguam berkenaan memaklumkan bahawa pandangan mereka itu adalah selaras dengan hasrat ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pasukan peguam yang mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, meminta semua bentuk perhimpunan aman berkait isu kematian pelajar Tingkatan Satu itu ditangguhkan sementara hingga prosiding inkues kematian kes itu selesai.



Ringkasan AI
  • Pasukan peguam keluarga Allahyarhamah Zara Qairina meminta semua perhimpunan aman berkaitan kes ditangguhkan sehingga prosiding inkues selesai, selaras dengan hasrat ibu arwah, Noraidah Lamat.
  • Mereka menasihatkan orang ramai agar berhati-hati memberi komen di media sosial bagi mengelakkan subjudis dan gangguan terhadap prosiding mahkamah.
  • Pasukan peguam menghargai sokongan awam terhadap kempen 'Justice For Zara' dan menegaskan agar nama arwah tidak disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kenyataan itu dikeluarkan pasukan peguam dibarisi Rizwandean M Borhan, Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James dalam satu hantaran di Facebook milik ibu Zara Qairina pada Sabtu.

Menurutnya, pandangan mereka itu adalah selaras dengan hasrat ibu arwah, Noraidah Lamat, 45.



"Kami memohon agar semua pihak berhati-hati ketika memberi kritikan dan komen di sosial media tentang prosiding inkues dan bukti-bukti yang dikemukakan.

"Ini penting bagi mengelakkan risiko subjudis dan gangguan dalam perjalanan prosiding inkues," katanya pada Sabtu.

Pasukan peguam itu berpendapat, sebarang himpunan solidariti boleh diteruskan selepas prosiding inkues selesai sepenuhnya.

"Buat masa ini, marilah kita memberi ruang kepada mahkamah untuk menjalankan tugasnya. Dengan kesabaran dan kepercayaan kepada proses kehakiman, kebenaran akan terserlah dan keadilan akan dicapai," jelasnya.

Menurut kenyataan itu lagi, inkues kes kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner Sabah membabitkan enam saksi hingga kini dan pihak mereka berpuas hati dengan perjalanan prosiding setakat ini.

Barisan peguam itu tidak ketinggalan menekankan bahawa mereka menghargai sokongan orang ramai melalui perhimpunan aman solidariti 'Justice For Zara' dan sumbangan dana bagi menampung kos pelantikan pakar dalam pelbagai bidang untuk anak guam, iaitu ibu Zara Qairina, dalam inkues terbabit.

Mereka sekali gus menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas sokongan dan sumbangan berkenaan.

"Kami juga sedia maklum bahawa beberapa individu ditahan dan didakwa di mahkamah berhubung ucapan pada perhimpunan atau komen dalam media sosial berkaitan gelombang 'Justice For Zara'.

"Kami dan anak guam kami tidak mahu slogan atau nama Zara dicemari tindakan pihak tidak bertanggungjawab," menurut kenyataan itu.

Inkues kes kematian Zara Qairina dijadualkan berlangsung selama 17 hari bermula 3 September lalu.






#inkues #Zara Qairina Mahathir #Noraidah Lamat #henti sementara perhimpunan