MALAYSIA

Inkues kematian pelatih PALAPES UTM dilakukan jika ada keperluan - AGC

Bernama 06/09/2025 | 08:12 MYT
Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar ketika ditemui pemberita pada Program Kampung Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara 2025 di Kampung Padang Tembak hari ini. - Foto Bernama
KOTA BHARU: Prosiding inkues akan dilakukan sekiranya terdapat keperluan berhubung kes kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.


Ringkasan AI
  • Inkues kematian pelatih PALAPES UTM akan dilakukan jika perlu, selepas polis serah hasil siasatan termasuk laporan bedah siasat kepada AGC.
  • Kes Wan Ahmad Faris (pelajar tahfiz 2013) akan disiasat semula, AGC janji percepat tindakan selepas PDRM buka semula kertas siasatan.
  • AGC tekankan keadilan sebagai keutamaan, dengan proses sama seperti kes Zara Qairina jika ada keperluan.


Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata setakat ini, siasatan kes berkenaan masih dijalankan oleh pihak polis.

"Kita akan teliti hasil siasatan termasuk laporan bedah siasat, segala aspek yang perlu dipenuhi oleh pihak polis. Jika ada keperluan untuk melakukan inkues kita akan lakukan.

"Dalam masa terdekat ia (hasil siasatan) akan diserahkan. Kita akan lakukan proses yang sama dengan kes Zara Qairina Mahathir, 13, sekiranya ada keperluan...kita mahukan keadilan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kampung Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara 2025 di Padang Awam Taman Desa Kemumin, Kampung Padang Tembak di sini hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur pelatih Palapes UTM Skudai Syamsul Haris, 22, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu di Semenyih, Selangor pada 29 Julai digali semula.

Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lepas di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.

Mengulas mengenai kematian Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang meninggal dunia di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas pada 2013, Mohd Dusuki berkata pihaknya akan menyelesaikan kes berkenaan secepat mungkin.

"Kita akan membuat siasatan lanjut dan berterusan. Saya juga telah dimaklumkan dari semasa ke semasa berhubung perkara ini dan jika ada perkembangan yang baik dan terkini kita akan ambil tindakan," katanya.

Pada 1 Sept, keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri Kelantan, merangkumi tiga tuntutan utama termasuk penjelasan mengenai perobohan lokasi kejadian (tandas sekolah) sedangkan siasatan masih belum dimuktamadkan.

Sebelum itu, pada bulan lepas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Polis Diraja Malaysia akan membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz berkenaan.

Pakar forensik yang melakukan bedah siasat terhadap mayat Wan Ahmad Faris mengesahkan kematian pelajar itu sebagai kematian mengejut tanpa unsur jenayah, namun Mahkamah Koroner memutuskan pada Jun 2016 bahawa kematiannya disebabkan dibunuh oleh individu yang belum dikenal pasti.

-- BERNAMA


#inkues kematian pelatih PALAPES #Jabatan Peguam Negara #Syamsul Haris Shamsudin #Mohd Dusuki Mokhtar #terkini