MALAYSIA

Inkues: Kesan darah pada kertas disahkan milik Zara Qairina - Ahli kimia

Yasmin Natasha 07/10/2025 | 04:10 MYT
Saksi yang juga ahli Kimia hari ini, mengesahkan titisan darah yang ditemui pada helaian kertas bertulis tangan adalah milik Allahyarham Zara Qairina Mahathir. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini, dimaklumkan terdapat titisan darah ditemui pada helaian kertas bertulisan tangan Allahyarham Zara Qairina Mahathir, dan ia disahkan sepadan dengan profil Deoksiribonukleik Asid (DNA) pelajar berusia 13 tahun itu.


Ringkasan AI
  • Titisan darah pada helaian kertas bertulisan tangan Zara diberitahu sepadan dengan profil DNA remaja itu, berdasarkan analisis ahli kimia Jabatan Kimia Malaysia, Nor Aidora Saedon.
  • Profil DNA bercampur turut ditemui pada beberapa barang peribadi seperti beg alat tulis, buku dan selimut, dengan Zara dikenal pasti sebagai penyumbang utama, manakala penyumbang minor tidak dapat dikenal pasti secara konklusif.
  • Semua bahan bukti dianalisis mengikut prosedur forensik bertaraf antarabangsa dan berada di bawah pengawasan ketat sepanjang proses, dengan keterangan saksi diterima oleh pelbagai mahkamah sebelum ini.


Ahli kimia dari Jabatan Kimia Malaysia, Nor Aidora Saedon, 52, berkata kesan darah tersebut dikesan pada kertas bertanda “Y8” meliputi bahagian Y8(ii) hingga Y8(vii) dan pada kertas bertanda “Y1” meliputi bahagian Y1(i) dan Y1(ii) yang dianalisis bagi tujuan perbandingan DNA.

Beliau memaklumkan mahkamah, bahawa semua kesan darah itu konsisten antara satu sama lain dan sepadan dengan profil DNA yang diperoleh daripada spesimen tulang bertanda “WK37” dan dilabelkan sebagai “Zara Qairina Binti Mahathir”.

“Ini menunjukkan DNA yang dikenal pasti datang daripada individu yang sama,” katanya sambil menambah bahawa kesan darah pada kertas bertanda “WK15(9)(a)” dan DNA surih daripada buku “WK13” turut menunjukkan padanan yang sama.

Sebelum ini, dalam prosiding pada 8 September, pegawai pemeriksa dokumen, Nurul Atiqah Mohd Noh, memberi keterangan bahawa tulisan tangan pada beberapa dokumen bertanda “Y1” hingga “Y15” serta “W1” dan “W2” adalah konsisten dengan tulisan tangan milik Zara Qairina.

Sementara itu, Nor Aidora berkata, satu profil DNA bercampur, terdiri daripada satu penyumbang utama wanita dan sekurang-kurangnya dua penyumbang kecil, turut diperoleh daripada kesan darah di bahagian “Y8(i)” serta DNA surih pada beg alat tulis “WK1(a)”, buku “WK9” dan “WK14”, serta selimut bertanda “WK27”.

“Profil DNA yang diperoleh daripada spesimen tulang ‘WK37’ adalah penyumbang utama dalam sampel bercampur itu, manakala penyumbang minor tidak dapat dikenal pasti secara konklusif,” katanya.

Nor Aidora yang merupakan saksi ke-17 memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina.

Beliau turut menjelaskan bahawa helaian kertas “Y1” dan “Y8” saling melengkapi antara satu sama lain.

Ahli kimia itu berkata, beliau memeriksa beg bukti polis bertanda “Y8” dan menemui sekeping kertas dengan beberapa kesan yang menunjukkan kehadiran darah. Katanya, tujuh kawasan diambil untuk analisis dan ditandakan sebagai Y8(i) hingga Y8(vii).

Selain itu, beliau turut memeriksa kertas bertanda “Y1” bersama Nurul Atiqah pada 20 Ogos, dan menemui dua kesan darah yang diambil serta dilabelkan sebagai “Y1(i)” dan “Y1(ii)”.

Terdahulu, Nor Aidora berkata beliau menerima 37 bahan bukti daripada seorang inspektor pada 11 Ogos, termasuk pakaian, barang peribadi, buku, helaian kertas serta beberapa spesimen seperti tulang, kuku dan kapas berdarah.

“Sepanjang analisis dijalankan, semua bahan bukti berada di bawah pengawasan saya dan tidak diusik. Setelah analisis selesai, saya menutup semula setiap bahan dalam bungkusan asalnya,” katanya.

Dalam keterangannya, Nor Aidora turut menjelaskan bahawa DNA ialah bahan genetik yang terdapat dalam hampir semua sel manusia dan unik bagi setiap individu kecuali kembar seiras.

Beliau menambah bahawa makmal DNA di Jabatan Kimia Malaysia dilengkapi peralatan bertaraf antarabangsa seperti Real-Time PCR, Thermal Cycler dan Genetic Analyser, serta mengikuti prosedur forensik yang diiktiraf di peringkat global.

“Saya biasanya menjalankan analisis DNA untuk kes forensik seperti pembunuhan, rogol, penentuan keturunan, pergaduhan, kes dadah, penculikan, rompakan dan pecah rumah.

"Saya juga pernah memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, Sesyen, Majistret dan Syariah, dan setakat ini, semua keterangan saya diterima oleh mahkamah,” katanya.



#Pakar kimia #inkues Zara Qairina #titisan darah #DNA