Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
MALAYSIA

Inkues: Pelajar lihat individu berbaju 'Hanafi' dalam tandas sebelum kematian Zara Qairina

Bernama 27/10/2025 | 13:34 MYT
Seorang pelajar memberitahu Mahkamah Koroner bahawa dia melihat individu memakai baju sukan bertulis Hanafi mengurung diri dalam tandas asrama sekitar pukul 2.35 pagi pada 16 Julai lepas, beberapa jam sebelum Zara Qairina ditemukan meninggal dunia.
KOTA KINABALU: Seorang pelajar tingkatan satu memberitahu Mahkamah Koroner di sini, hari ini bahawa dia melihat individu memakai baju sukan bertulis Hanafi mengurung diri dalam tandas asrama sekitar pukul 2.35 pagi pada 16 Julai lepas, beberapa jam sebelum Zara Qairina Mahathir ditemukan meninggal dunia.


Ringkasan AI
  • Seorang pelajar tingkatan satu melihat individu berbaju sukan bertulis -Hanafi- mengurung diri dalam tandas sekitar 2.35 pagi, beberapa jam sebelum Zara Qairina ditemui meninggal dunia.
  • Saksi juga mendakwa guru pernah memaklumkan kepada pelajar bahawa Zara meninggal dunia akibat bunuh diri, bukan akibat dibuli.
  • Saksi turut memberitahu pernah melihat pelajar junior diarahkan melakukan kerja oleh pelajar senior serta mendengar kata-kata kesat semasa mesyuarat aras.


Keterangan itu diberikan saksi kanak-kanak ke-22, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, pada hari ke-28 prosiding inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Peguam Joan Goh yang mewakili seorang kanak-kanak dalam kes buli membabitkan Zara berkata keterangan itu penting kerana waktu yang dinyatakan adalah tempoh paling hampir dengan kejadian.

"Semasa saksi bangun untuk mandi kira-kira jam 2.35 pagi -- menjadi kebiasaannya mandi awal bagi mengelak kesesakan penggunaan tandas -- saksi pergi ke tandas tingkat tiga.

"Saksi menolak pintu tandas nombor satu yang tertutup, namun pintu itu tertolak semula seolah-olah ada seseorang bersandar di sebaliknya seperti sedang mengurung diri," katanya kepada pemberita selepas prosiding.

Goh berkata kira-kira pukul 3 pagi, ketika saksi hampir selesai mandi, dia mendengar seseorang membuka salah satu pintu tandas dan keluar, namun tidak dapat mengecam individu itu kerana tidak melihat wajahnya, hanya menyedari tulisan Hanafi pada baju sukan yang dipakai.

Goh berkata kira-kira pukul 3 pagi ,ketika saksi hampir selesai mandi, dia mendengar seseorang membuka salah satu pintu tandas dan keluar, namun tidak dapat mengecam individu itu kerana tidak melihat wajahnya, hanya menyedari tulisan "Hanafi" pada baju sukan yang dipakai.

Sementara itu, peguam Rizwandean M Borhan yang mewakili ibu Zara memaklumkan saksi berkenaan turut memberitahu mahkamah bahawa beberapa guru pernah memaklumkan kepada pelajar perempuan di musolla sekolah bahawa Zara bukan mangsa buli sebaliknya, meninggal dunia akibat bunuh diri.

"Saksi ditanya 'Adakah cikgu pernah memberitahu bahawa kes Zara bukan kes dibuli tetapi bunuh diri? dan saksi menjawab 'Ya'. Perkataan yang digunakan oleh guru ialah 'dia tidak tahan sudah tu'. Itu yang dikatakan oleh saksi kanak-kanak ini," katanya.

Rizwandean turut memaklumkan saksi pernah melihat pelajar junior diarahkan pelajar senior melakukan pelbagai tugas seperti menyeterika pakaian dan mengambil air panas.

"Saksi memberitahu, biasanya MA (mesyuarat aras) akan diadakan di bilik musollah selepas Maghrib atau Isyak dan dia pernah mendengar pelajar senior mengeluarkan kata-kata kesat semasa mesyuarat itu," katanya.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai.

Prosiding Inkues bersambung Selasa ini.

-- BERNAMA


#inkues Zara Qairina #Zara Qairina Mahathir #baju tulis Hanafi #mahkamah koroner