MALAYSIA

Inkues Zara Qairina: 9 warden ditamatkan perkhidmatan, "mungkin" ada kaitan dengan kes - Saksi

Bernama 02/12/2025 | 07:45 MYT
Zara Qairina (gambar kecil) disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya.
KOTA KINABALU: Perkhidmatan sembilan warden di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha telah ditamatkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.


Ringkasan AI
  • Perkhidmatan sembilan warden di SMKA Tun Datu Mustapha ditamatkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri selepas kematian Zara Qairina Mahathir, seorang pelajar Tingkatan Satu.
  • Warden Nor Asima Zaiton menyatakan penamatan perkhidmatan itu "mungkin" berkaitan dengan kes tersebut, dan beliau merancang untuk berhenti sebelum insiden berlaku.
  • Penutupan enam telefon awam di sekolah selepas kematian Zara dilakukan untuk mengurangkan kepanikan dalam kalangan ibu bapa, tetapi pelajar masih dibenarkan menghubungi keluarga jika perlu.


Guru Bahasa Inggeris Nor Asima Zaiton, yang mengesahkan perkara itu, berkata beliau adalah antara warden yang ditamatkan perkhidmatan dan ia "mungkin" ada kaitan dengan kes kematian pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir pada Julai lepas.

Saksi berusia 49 tahun itu berkata demikian ketika disoal oleh peguam Joan Goh, yang mewakili seorang daripada lima kanak-kanak terlibat dalam kes membuli Zara Qairina, semasa inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

"Saya memang bercadang untuk meletakkan jawatan itu lama sebelum insiden tersebut berlaku... kami kemudian telah dimaklumkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri bahawa khidmat kami sebagai warden tidak lagi diperlukan," kata saksi ke-55 itu.

Ketika ditanya sama ada penamatan perkhidmatan itu ada kaitan dengan kes kematian Zara Qairina, beliau menjawab "mungkin."

Apabila ditanya mengenai enam telefon awam yang disediakan untuk pelajar menghubungi ibu bapa mereka, yang ditutup selama dua hari susulan kematian Zara Qairina, bekas warden itu berkata ia dibuat atas arahan Ketua Warden Azhari Abd Sagap bagi mengurangkan rasa panik dalam kalangan ibu bapa.

"Para pelajar tidak sepenuhnya dilarang menghubungi ibu bapa mereka... saya sendiri telah membenarkan seorang pelajar tingkatan satu yang tidak sihat menggunakan telefon bimbit saya untuk menghubungi ibunya... bayangkan jika para pelajar menyebarkan berita yang tidak pasti kerana ketika itu, mereka tidak mengetahui apa yang telah terjadi," katanya.

Ditanya sama ada beliau melanggar arahan Azhari, Nor Asima berkata: "beliau tidak menyebut tentang telefon bimbit, arahannya hanya mengenai telefon awam."

Kepada soalan sama ada sekolah itu telah cuai berkaitan insiden kematian Zara Qairina, beliau berkata: "saya memilih untuk tidak menjawab."

Guru berkenaan, yang tidak menafikan bahawa pelajar kadangkala mengeluarkan perkataan kasar dan keras, juga berkata tingkah laku seorang kanak-kanak banyak bergantung kepada didikan ibu bapa serta pengaruh rakan sebaya.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya.

-- BERNAMA








#inkues Zara Qairina #warden ditamatkan perkhidmatan #SMKA Tun Datu Mustapha #mahkamah koroner #terkini