[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Inkues Zara Qairina: AGC beri amaran tindakan tegas kebocoran maklumat saksi kanak-kanak

Umavathi Ramayah 19/09/2025 | 11:52 MYT
Mohd Dusuki Mokhtar, berkata pihaknya memandang serius insiden itu yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku kerana melibatkan saksi bawah umur yang identitinya dilindungi undang-undang. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Jabatan Peguam Negara memberi amaran tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk membawa ke muka pengadilan terhadap individu yang membocorkan maklumat berkaitan seorang saksi kanak-kanak dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir.


Ringkasan AI
  • Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar beri amaran tindakan tegas terhadap kebocoran maklumat saksi kanak-kanak dalam inkues Zara Qairina.
  • Mahkamah Koroner tangguh prosiding hari ke-10 susulan insiden itu dan arah laporan polis dibuat.
  • Prosiding Isnin depan akan dijalankan secara tertutup dengan saksi kanak-kanak ditempatkan di bilik khas.


Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata pihaknya memandang serius insiden itu yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku kerana melibatkan saksi bawah umur yang identitinya dilindungi undang-undang.

“Jabatan Peguam Negara akan memantau perkara ini dan menunggu siasatan lanjut daripada pihak polis. Perkara ini amat serius dan seharusnya diberikan perhatian sewajarnya.

“Lebih penting, semua pihak perlu menghormati proses perundangan kerana ia membabitkan saksi kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Jumaat.

Susulan kebocoran maklumat itu, Mahkamah Koroner menangguh prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu berkenaan yang memasuki hari ke-10, hari ini.

Koroner Amir Shah Amir Hassan melahirkan kekecewaan terhadap insiden itu kerana dikhuatiri akan melambatkan perjalanan prosiding.

Beliau turut mengarahkan Datuk Ram Singh yang mengetuai pasukan guaman untuk mengambil langkah sewajarnya dengan membuat laporan polis segera supaya pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap sebarang pelanggaran.

Pada Isnin, prosiding akan dijalankan secara tertutup dengan saksi kanak-kanak berada di bilik saksi.

Bagi prosiding ini, selaras dengan Akta Saksi Kanak-Kanak, saksi akan berada di bilik saksi dengan bantuan seorang jurubahasa serta seorang pendamping pilihan mereka.

Mahkamah Koroner juga membenarkan pegawai undang-undang dari Kementerian Pendidikan (KPM) dan Persatuan Undang-Undang Sabah hadir dalam prosiding.



#Peguam Negara #Zara Qairina Mahathir #inkues #kebocoran inkues