Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
MALAYSIA

Inkues Zara Qairina: Ahli Circle 19 pernah dipanggil guru disiplin kerana salah laku - Saksi

Yasmin Natasha 14/10/2025 | 11:07 MYT
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu.
KOTA KINABALU: Saksi pelajar ke-13 dalam prosiding inkues Allahyarham Zara Qairina Mahathir mendedahkan di Mahkamah Koroner di sini, hari ini bahawa beberapa ahli kumpulan pelajar dikenali sebagai 'Circle 19' pernah dipanggil oleh guru disiplin dan guru kaunseling atas kesalahan membawa telefon bimbit ke asrama.


Ringkasan AI
  • Saksi pelajar ke-13 dalam prosiding inkues Zara Qairina memaklumkan beberapa ahli kumpulan pelajar dikenali sebagai 'Circle 19' pernah dipanggil guru disiplin dan kaunseling atas kesalahan membawa telefon bimbit ke asrama sekitar Jun dan Julai 2023.
  • Saksi turut menyatakan guru tidak mengetahui jika terdapat ahli kumpulan itu yang bersikap kasar terhadap pelajar lain, namun mengakui pernah dimarahi secara beramai-ramai oleh pelajar senior ketika di Tingkatan Satu.
  • Saksi mengenali Allahyarham Zara dan tinggal di aras sama; prosiding inkues akan bersambung dengan saksi pelajar baharu, manakala Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth.


Peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata: "Menurut saksi, kejadian itu berlaku sekitar bulan Jun dan Julai tahun 2023.

"Saksi berkata ada beberapa ahli kumpulan 'Circle 19' pernah dipanggil guru disiplin atau guru kaunseling atas salah laku kerana didapati membawa handphone di asrama," katanya semasa sidang media di perkarangan mahkamah hari ini.

Dalam pada itu, saksi ini juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa guru-guru tidak mengetahui jika terdapat pelajar dalam kalangan ahli kumpulan itu yang bersikap kasar terhadap pelajar lain.

Katanya, tindakan mereka kebiasaannya hanya mengikut amalan yang dilakukan sebelum ini, di mana pelajar senior akan memarahi pelajar junior secara beramai-ramai.

"Saksi turut mengakui bahawa beliau sendiri pernah dimarahi oleh pelajar senior bersama rakan-rakan lain ketika berada di tingkatan satu," ujarnya lagi.

Saksi pelajar ke-13 ini merupakan pelajar yang tinggal di aras sama dan mengenali Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Beliau selesai memberikan keterangan kira-kira pukul 4 petang hari ini.

Prosiding inkues akan bersambung pada Rabu dengan keterangan saksi pelajar baharu.

Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.



#Zara Qairina Mahathir #Inkues Zara #Circle 19 #Saksi pelajar