[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Inkues Zara Qairina: Allahyarham ditemukan berhampiran longkang, tidak sedarkan diri - Pengawal keselamatan

Astro Awani 10/09/2025 | 05:16 MYT
Saksi yang juga seorang pengawal keselamatan menemui Zara Qairina tidak sedarkan diri berhampiran longkang berhampiran blok asrama sekitar jam 3 pagi sebelum menghubungi Ketua Warden dan ambulans. - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa blok asrama Sumayyah, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar, tempat pelajar Tingkatan Satu Allahyarham Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri, tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).


Ringkasan AI
  • Blok asrama Sumayyah tiada CCTV dan gril keselamatan, menyukarkan pemantauan pergerakan pelajar terutama pada waktu malam.
  • Pengawal keselamatan menemui Zara Qairina tidak sedarkan diri berhampiran longkang berhampiran blok asrama sekitar jam 3 pagi sebelum menghubungi Ketua Warden dan ambulans.
  • Mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth kira-kira jam 4 pagi selepas ambulans tiba, menurut keterangan saksi pada prosiding inkues hari kelima.


Perkara itu didedahkan saksi keenam, Linah Mansoding @ Jaliha, 64, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah itu sejak 2012.

"Setahu saya, tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) di pasang di blok asrama.

"Tiada juga gril (besi penghalang) dipasang di koridor bangunan asrama tersebut,” katanya ketika membacakan kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada hari kelima prosiding inkues berhubung kematian remaja itu.

Tambahnya, ketiadaan sistem rakaman berkenaan menyukarkan pihak sekolah untuk memantau pergerakan pelajar terutama pada waktu malam.

Linah berkata kira-kira 3 pagi, semasa berada di asrama Blok Sumayyah, dia dimaklumkan oleh seorang pelajar ada seorang pelajar perempuan pengsan di longkang berhampiran Blok Rabiatul Adawiyah sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Saya melihat Zara dalam keadaan tidak sedarkan diri terlentang di (berhampiran) longkang berhampiran blok asrama.

"Saya segera hubungi Ketua Warden, Ustaz Azhari, untuk tindakan lanjut," katanya.

Linah turut memaklumkan beliau sempat mengambil gambar keadaan mangsa sebelum ambulans tiba kira-kira jam 4 pagi untuk membawa Zara ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).

"Selepas Ustaz Azhari sampai di lokasi kejadian, beliau telah menghubungi hospital dan ambulans sampai pada sekitar jam 4 pagi.

"Pelajar yang dikenali sebagai Zara tersebut telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk terima rawatan," tambahnya yang bertugas dari 8 malam pada 15 Julai hingga 8 pagi, 16 Julai lepas.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai. Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari sebelum setelah ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran longkang di asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan pihak polis, manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.







#inkues Zara Qairina #CCTV #pengawal keselamatan #terkini