[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Inkues Zara Qairina: Amalan senior marah junior perkara biasa - Saksi pelajar

Yasmin Natasha 29/09/2025 | 09:16 MYT
Prosiding inkues akan bersambung pada Selasa dengan saksi pelajar baharu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
KOTA KINABALU: Saksi pelajar kelima dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir, memaklumkan kepada Mahkamah Koroner di sini, hari ini, bahawa amalan pelajar senior menegur atau memarahi junior dengan nada keras merupakan perkara biasa di asrama.


Ringkasan AI
  • Saksi pelajar kelima dalam inkues kematian Zara Qairina memaklumkan bahawa teguran keras dan kata-kata kasar oleh pelajar senior terhadap junior adalah amalan biasa di asrama dan dianggap sebahagian daripada pengalaman pelajar.
  • Pasukan peguam ibu Allahyarham mengemukakan pelan lakar 3D dan 2D bilik asrama serta aras Blok Rabiatul Adawiyah untuk membantu saksi kanak-kanak dan pihak mahkamah mengenal pasti lokasi kejadian.
  • Prosiding inkues akan bersambung pada Selasa dengan saksi pelajar baharu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.


Peguam yang mewakili ibu Allahyarham, Shahlan Jufri berkata, saksi tersebut memberitahu perkara itu dianggap sebahagian daripada pengalaman yang mesti dilalui oleh pelajar junior, kerana pelajar senior terdahulu juga pernah melalui situasi serupa.

“Saksi ini rapat dengan kumpulan Circle 19 iaitu sekumpulan 19 pelajar yang sering melakukan aktiviti bersama.

“Dia (saksi) turut menyatakan bahawa kata-kata kasar seperti 'bodoh' dan 'sial' yang dilemparkan terhadap Zara adalah dalam konteks sesama rakan.

“Saksi ini juga mengambil inisiatif untuk mengenal pasti guru yang merampas telefon bimbit seorang pelajar pada pagi kejadian, memandangkan penggunaan telefon tidak dibenarkan di dorm,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Shahlan berkata, pasukannya turut mengemukakan pelan lakar tiga dimensi (3D) dan 2D kepada semua pihak dalam Mahkamah Koroner.

Katanya, pelan itu memberikan gambar visual bilik asrama A-3-6, A-3-5 serta keseluruhan aras 3 Blok Asrama Rabiatul Adawiyah.

“Pelan ini disediakan untuk membantu saksi kanak-kanak sebagai rujukan serta membolehkan pihak mahkamah mengenal pasti lokasi para pelajar semasa waktu material kejadian,” ujarnya lagi.

Prosiding inkues akan bersambung pada Selasa yang melibatkan saksi pelajar yang baharu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.


#Inkues Zara #Saksi kanak kanak #mahkamah koroner #keputusan inkues