Inkues Zara Qairina: Arwah pernah dipulau kerana 'cari perhatian' - Saksi

Prosiding inkues akan bersambung esok dengan keterangan saksi kanak-kanak ke-26. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Khas Koroner Kota Kinabalu, di sini, hari ini memberi gambaran baharu mengenai kehidupan sosial pelajar berusia 13 tahun itu sebelum kejadian tragis pada Julai lalu.
Peguam mewakili ibu arwah, Shahlan Jufri, berkata tiga saksi kanak-kanak masing-masing saksi ke-24, ke-25 dan ke-26 tampil memberi keterangan berhubung hubungan Zara dengan rakan sekolah serta keadaan sosialnya di asrama.
Menurutnya, saksi kanak-kanak ke-24 memberitahu mahkamah bahawa Zara dipercayai pernah dipulaukan oleh pelajar dari tingkatan satu hingga tingkatan lima, atas dakwaan kononnya “mencari perhatian”.
"Saksi pernah memberitahu bahawa Zara dipulaukan oleh pelajar daripada tingkatan 1 hingga ke tingkatan lima.
"Apabila ditanya apa punca Zara dipulaukan, saksi ini mengatakan Zara dipulaukan disebabkan perangainya... mereka mengatakan Zara ini minta perhatian," katanya.
Shahlan berkata, walaupun sering menjadi sasaran ejekan dan body shaming, saksi mengesahkan Zara seorang yang ceria dan tidak menunjukkan tanda-tanda tekanan atau stres sepanjang mengenalinya.
Dalam masa sama, mahkamah turut mendengar keterangan saksi kanak-kanak ke-25 yang berkongsi pengalaman rapat bersama arwah, termasuk pernah bermalam di rumah Zara di daerah Sipitang serta mengesahkan hubungan baik antara arwah dengan ibunya.
Saksi turut memaklumkan mengenai insiden spot check kehilangan wang RM21 yang berlaku sehari sebelum kejadian 16 Julai lalu.
"Pada siang (hari) 15 Julai 2025, ada insiden di mana satu spot check dibuat atas kehilangan duit sebanyak RM21.
"Namun, mengikut keterangan saksi, duit itu tidak dijumpai pada hari tersebut. Saksi bertanya sendiri kepada Zara sama ada dia nampak duit itu, dan Zara menafikan," katanya.
Saksi berkenaan juga memberitahu bahawa Zara dilihat menangis dan menjerit pada malam kejadian, namun tidak pasti punca sebenar keadaan tersebut.
Shahlan berkata, kesemua keterangan itu penting bagi membantu mahkamah memahami tekanan sosial yang mungkin dialami oleh arwah sebelum tragedi berlaku.
Katanya, pelbagai versi berhubung isu kehilangan wang turut dibangkitkan oleh saksi lain dan semua keterangan akan dirumuskan di akhir prosiding untuk membantu mahkamah menentukan punca sebenar kejadian.
Prosiding inkues akan bersambung esok dengan keterangan saksi kanak-kanak ke-26.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


