Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Inkues: Zara Qairina berkurung dalam tandas selepas dipanggil kumpulan 'Circle 19' - Saksi

Yasmin Natasha 13/10/2025 | 07:07 MYT
Saksi turut mendengar ada yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Zara dan dimaklumkan bahawa barangan peribadi Zara telah diselongkar oleh pelajar lain. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Koroner bahawa pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, berkurung di dalam tandas asrama pada malam dia dipanggil oleh kumpulan pelajar senior dikenali sebagai 'Circle 19'.


Ringkasan AI
  • Saksi ke-11 inkues kematian Zara Qairina Mahathir memaklumkan bahawa Zara berkurung di dalam tandas asrama pada malam dia dipanggil oleh kumpulan pelajar senior 'Circle 19' berhubung kehilangan kad bank dan pin bendera.
  • Saksi turut mendengar ada yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Zara dan dimaklumkan bahawa barangan peribadi Zara telah diselongkar oleh pelajar lain dalam insiden yang menyebabkan suasana asrama menjadi kecoh.
  • Sekitar jam 3.50 pagi, saksi dikejutkan dengan berita Zara ditemui tidak sedarkan diri, namun tidak menyaksikan sebarang kejadian pukul dan hanya mengetahui insiden melalui cerita rakan-rakan.


Peguam Rizwandean M. Borhan berkata, saksi ke-11 itu memberitahu mahkamah bahawa pada malam 15 Julai 2023, sekitar jam 10 hingga 11 malam, Zara Qairina dipanggil oleh beberapa pelajar senior untuk disoal berhubung kehilangan kad bank dan pin bendera milik pelajar lain.

"Saksi berkata, ketika melalui koridor di hadapan bilik tersebut untuk meminjam kasut, beliau mendengar seorang pelajar junior mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Zara, dipercayai kerana marah dengan kejadian kehilangan barang.

"Beliau turut dimaklumkan bahawa beberapa pelajar junior menyelongkar barangan peribadi Zara untuk mencari barangan yang hilang dan saksi itu sendiri ada dengar daripada pelajar lain bahawa pada malam itu Zara ada berkurung di tandas, tetapi tidak tahu jam berapa (kejadian) itu berlaku,” katanya di mahkamah.

Menurut saksi itu, ramai pelajar asrama mengetahui mengenai insiden itu dan keadaan di asrama menjadi kecoh apabila Zara Qairina dipanggil ke dorm kumpulan berkenaan.

Sekitar jam 3.50 pagi, saksi berkata beliau dikejutkan oleh rakan yang memaklumkan ada pelajar ditemui tidak sedarkan diri sebelum mengetahui bahawa pelajar tersebut ialah Zara.

Saksi menambah, beliau tidak menyaksikan sebarang kejadian pukul terhadap Zara Qairina dan hanya mengetahui peristiwa malam itu melalui cerita rakan-rakan lain.

#Zara Qairina Mahathir #inkues #Saksi pelajar #Circle 19