MALAYSIA
Inkues Zara Qairina: Dua saksi maklumkan mangsa berulang kali cakap mahu cederakan diri

Dua saksi pertama menyatakan Zara bertanya lebih 10 kali soalan berkaitan melompat dan perasaan orang terhadapnya.
KOTA KINABALU: Saksi pelajar pertama dan kedua dalam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, memaklumkan bahawa Zara beberapa kali menyuarakan kata-kata yang menunjukkan niat untuk mencederakan diri.
Peguam Azhier Farhan Arisin berkata, antara kata-kata yang didakwa diucapkan Zara ialah soalan seperti: “Kalau saya lompat dari tingkat tiga, ada sayang saya ke?” dan frasa yang hampir serupa yang merujuk kepada niat untuk membunuh diri.
“Kedua-dua saksi itu memaklumkan Zara bertanyakan soalan berkenaan lebih daripada 10 kali,” katanya ketika sidang media.
Dalam pada itu, keterangan saksi kedua turut merujuk kepada satu catatan tulisan yang hilang.Saksi itu memberitahu mahkamah bahawa beliau mengenali tulisan pada catatan tersebut sebagai tulisan Allayarham Zara.
Dalam catatan yang dirujuk, terdapat ayat-ayat yang berbunyi antara lain: “Ya Allah, kenapa aku dibenci? Kenapa aku tidak disukai orang-orang?” dan saksi kedua memberitahu mahkamah bahawa catatan itu mengandungi aduan peribadi dan bahawa mangsa pernah menceritakan isu-isu tersebut dalam catatan berkenaan.
Bagaimanapun, Azhier turut memaklumkan bahawa keterangan saksi ketiga memberi fokus kepada apa yang berlaku di asrama pada waktu kejadian, yang menyatakan beliau tidak melihat Zara menangis dan tidak mendengar sebarang tangisan pada malam tersebut ketika Allahyarham telah dipanggil ke sebuah dorm lain pada malam 15 Julai lalu untuk disiasat berhubung satu kes kecurian.
Mahkamah dijadual meneruskan prosiding esok dengan mendengar keterangan daripada saksi kanak-kanak keempat dan kelima bermula pukul 9 pagi.
Setakat ini, 11 saksi termasuk tiga kanak-kanak telah memberikan keterangan sejak prosiding bagi menentukan punca kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha itu dimulakan pada 3 Sept lepas.
Sebanyak 25 saksi dewasa dan 32 lagi saksi kanak-kanak dijangka memberi keterangan dalam inkues berkenaan pada sesi akan datang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami