[LAPOR LANGSUNG] 9 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel
MALAYSIA

Inkues Zara Qairina: Dua saksi pelajar baru dijangka beri keterangan hari ini

Yasmin Natasha 09/10/2025 | 02:40 MYT
Inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang memasuki hari ke-20, masih lagi mendengar keterangan daripada saksi pelajar.
KOTA KINABALU: Inkues kematian Zara Qairina Mahathir memasuki hari ke-20 hari ini dengan saksi pelajar ke-10 mula memberikan keterangan pada pagi ini.

Saksi tersebut hadir ke Mahkamah Koroner bersama bapanya sebagai pendamping.

Prosiding dijalankan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Pada sebelah petang pula, seorang lagi saksi pelajar dijangka memberi keterangan.

Semalam, keterangan daripada saksi pelajar kesembilan memberitahu Mahkamah Koroner bahawa sebelum sambutan Aidilfitri lalu, dia bersama tiga lagi rakan pernah memeriksa lokar milik Allahyarham Zara dan menemui sejumlah wang tunai di dalamnya.

Saksi turut memaklumkan bahawa wang tersebut kemudian dipulangkan semula kepada pelajar yang kehilangan duit, manakala bakinya sekitar RM30 diberikan kembali kepada Zara Qairina.

Difahamkan, saksi ini mengenali Allahyarham Zara Qairina sebagai rakan sekolah.

Inkues yang bermula pada 3 September lalu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bertujuan menyiasat punca kematian Zara Qairina, yang ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai berhampiran longkang di asramanya di SMKA Tun Datu Mustapha, Papar.


#Zara Qairina Mahathir #inkues #Saksi pelajar #mahkamah koroner