MALAYSIA

Inkues Zara Qairina: Guru terima cebisan kertas tulis nama 'Zara' selepas 'spotcheck'

Sinar Harian 30/01/2026 | 07:55 MYT
Saksi dalam inkues Zara Qairina memberitahu ada menerima secebis kertas tertulis nama Zara daripada pelajar yang mengadu kehilangan wang. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Saksi ke-61 dalam inkues Zara Qairina Mahathir memberitahu mahkamah di sini bahawa beliau ada menerima secebis kertas tertulis nama ‘Zara’ daripada pelajar yang mengadu kehilangan wang sebanyak RM20.

Mohd Sham M Nasir, 27, yang juga seorang guru mata pelajaran Geografi, menyatakan perkara itu semasa membaca pernyataan saksinya mengenai insiden yang berlaku pada 14 Julai tahun lalu semasa beliau mengajar dalam kelasnya.

Menurutnya, selepas selesai kelas dan beliau sedang berkemas untuk keluar dari kelas, pelajar yang kehilangan wang itu telah memberikan secebis kertas kepadanya.

"Apabila saya membuka kertas tersebut, tertulis perkataan ‘Zara’. Saya kemudian berdiri untuk keluar daripada kelas dan sempat menasihati pelajar itu supaya tidak menuduh tanpa bukti.

"Secara tiba-tiba, dua pelajar termasuk pelajar A mengiyakan kenyataan pelajar berkenaan. Salah seorang daripada mereka berkata, ‘Iya cikgu, dia memang ada kes sebelum ini’.

"Manakala pelajar A pula berkata, ‘saya pun pernah kehilangan duit cikgu, ratus. Saya pun rasa dia juga’," katanya semasa memberi keterangan di Mahkamah Koroner di sini pada Jumaat.

Menurutnya, beliau mendapati kedua-dua pelajar itu mengesyaki Zara Qairina sebagai pencuri wang berdasarkan perbualan mereka, walaupun pelajar yang kehilangan wang tidak menyebut nama Zara Qairina secara langsung, hanya menyerahkan secebis kertas bertulis nama tersebut.

"Ketika itu, pelajar terbabit yang duduk di meja belakang datang ke meja hadapan untuk bercerita tentang kejadian itu, manakala pelajar A kekal di mejanya.

"Sebahagian pelajar perempuan yang duduk di bahagian belakang hanya mendiamkan diri, manakala pelajar yang berada di hadapan, termasuk pelajar A, sedang berbincang mengenai perkara tersebut.

"Saya yakin dua pelajar itu tahu tentang perkara ini, walaupun nama Zara hanya ditulis di atas kertas dan tidak disebut secara lisan oleh pelajar yang kehilangan wang," katanya.

Tambahnya, ketika perbualan berlaku, Zara Qairina duduk selang satu meja dari pelajar berkenaan, dan beliau yakin pelajar itu mendengar perbualan tersebut.

"Pada waktu itu, saya tidak melihat muka Zara kerana tidak mahu dia berasa tidak selesa dengan apa yang dibincangkan. Selepas itu, saya membaca doa untuk menamatkan kelas.

"Saya dapati Zara duduk di atas kerusi di bahagian tengah belakang kelas dan menunjukkan reaksi biasa sambil menghayunkan kedua-dua kakinya," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa ketika keluar dari kelas melalui pintu hadapan, sekumpulan pelajar perempuan termasuk tiga pelajar berkenaan sekali lagi menuduh Zara Qairina mencuri.

"Saya masih ingat salah seorang daripada mereka menyatakan, ‘Cikgu, saya pun rasa Zara yang mencuri sebab sebelum ini dia pernah mencuri.’ Pelajar yang kehilangan wang itu pula menyahut, ‘Iya cikgu.’

"Pelajar A pula menambah, ‘Dia pernah mencuri. Duit saya pun pernah hilang, ratus.’ Sekali lagi saya menasihati mereka supaya jangan menuduh tanpa bukti. Kemudian saya terus ke kantin," katanya.

Terdahulu, Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah menengah agama di Papar pada 16 Julai tahun lalu, dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQE1). -- Sinar Harian






#inkues Zara Qairina #cebisan kertas #spotcheck #kematian #meninggal dunia #terkini