[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Inkues Zara Qairina: Laporan siasatan dalaman disimpan dalam fail, tidak diserah kepada pengetua - Saksi

Bernama 28/11/2025 | 08:24 MYT
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya.
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner diberitahu hari ini bahawa laporan hasil siasatan dalaman kes Zara Qairina Mahathir tidak pernah diserahkan kepada mana-mana pihak sebaliknya hanya disimpan di dalam fail khas di unit disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha.


Ringkasan AI
  • Laporan siasatan dalaman kes Zara Qairina Mahathir tidak diserahkan kepada mana-mana pihak, hanya disimpan di fail khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pengurusan maklumat di sekolah.
  • Penolong Ketua Guru Disiplin mengesahkan bahawa laporan tersebut tidak diserahkan kepada pihak berkuasa seperti Pejabat Pendidikan Daerah dan Polis Diraja Malaysia, menyebabkan ketidakjelasan dalam penyelesaian kes dan kelewatan pengambilan tindakan yang sewajarnya.
  • Prosiding inkues kematian Zara Qairina turut mendedahkan bahawa siasatan dalaman hanya dijadikan rekod dalaman sekolah, bukan untuk pihak berkuasa, dan kemungkinan laporan itu hanya akan diserahkan jika diminta oleh pihak polis, menimbulkan kebimbangan mengenai transparansi dan akauntabiliti sekolah.


Penolong Ketua Guru Disiplin Nurul Syahadah Ibrahim, 38, turut mengesahkan bahawa laporan berkenaan tidak dikemukakan kepada Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri, Kementerian Pendidikan Malaysia, Polis Diraja Malaysia mahupun pengetua sekolah itu sendiri.

Menjawab soalan peguam Clarice Vyone Conrad, yang mewakili bapa Zara Qairina, saksi itu bersetuju bahawa laporan berkenaan sepatutnya diserahkan kepada pengetua dalam apa jua keadaan kerana menjadi tanggungjawab pengetua untuk mengetahui setiap perkara yang berlaku di sekolah.

"Ya, benar. Guru Besar perlu dimaklumkan walaupun kes kecil... saya sandarkan perkara ini kepada khilaf saya sendiri... laporan siasatan dalaman ini hanya diketahui oleh unit disiplin sahaja, dan kami menjaga kerahsiaan walaupun berada dalam sekolah yang sama... kami beranggapan laporan itu hanyalah untuk simpanan dalaman unit disiplin.

"Salinan laporan itu juga tidak diberikan kepada pengetua kerana beliau tidak lagi berada di sekolah, dan kami jarang bertemu untuk menyerahkannya sendiri," kata saksi ke-54 itu pada prosiding inkues kematian Zara Qairina, 13, di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Clarice: Sejak bila pengetua tidak lagi berada di sekolah?

Nurul Syahadah: Seingat saya, sejak Ogos tahun ini.

Clarice: Ketika laporan bertarikh 16 dan 17 Julai, pengetua masih berada di sekolah, kan?

Nurul Syahadah: Masih ada, saya yang terlepas pandang.

Clarice: Tadi cikgu kata ini kes serius, bagaimana boleh terlepas pandang?

Nurul Syahadah: Benar, ini kes serius tetapi pada ketika itu, kami sangat struggle dengan tugas dan peranan masing-masing... Ya, laporan bertarikh 16 dan 17 Julai, saya sendiri terlepas pandang untuk menyerahkannya kepada pengetua kerana terlalu fokus kepada siasatan dalaman.

Beliau juga berkata laporan itu hanya untuk rekod dalaman sekolah dan bukan untuk pihak berkuasa, serta mengakui kemungkinan menyerahkannya jika diminta berbuat demikian oleh pihak polis.

Semalam, Nurul Syahadah berkata siasatan dalaman itu dijalankan pada 16 dan 17 Julai serta 4, 5 dan 13 Ogos lepas, membabitkan beberapa pelajar termasuk lima individu yang dikatakan orang terakhir melihat Zara Qairina.

Beliau berkata siasatan itu dijalankan melalui sesi soal jawab dan pernyataan bertulis para saksi.

Prosiding hari ini dipendekkan berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang berlangsung esok, dan akan bersambung pada Isnin.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.

-- BERNAMA


#inkues Zara Qairina #Penolong Ketua Guru Disiplin #meninggal dunia #Nurul Syahadah Ibrahim #kenyataan saksi #terkini