Skip to main content

Malaysia

Inkues Zara Qairina: Mahkamah Koroner tetapkan Jumaat ini bagi arahan berkaitan hujahan

Mahkamah Koroner selesai mendengar keterangan kesemua 83 saksi dalam prosiding inkues berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir. - Gambar fail
Mahkamah Koroner selesai mendengar keterangan kesemua 83 saksi dalam prosiding inkues berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir. - Gambar fail

Advertisement

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini selesai mendengar keterangan kesemua 83 saksi dalam prosiding inkues berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir.

Sebelum menangguhkan prosiding hari ini, Koroner Amir Shah Amir Hassan memaklumkan bahawa tiada lagi saksi akan dipanggil, dan mahkamah akan bersidang pada 9 pagi Jumaat ini untuk memberikan arahan mengenai penghujahan dalam inkues itu.

"Pada hari Jumaat, saya akan mendengar pandangan pihak-pihak yang terlibat dan memutuskan arahan mengenai penghujahan," katanya.

Beliau berkata alasan penghakiman bagi keputusan inkues itu akan disampaikan dalam Bahasa Melayu bagi memudahkan pemahaman terhadap dapatan prosiding berkenaan.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas beliau ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran sebuah longkang di asrama sekolahnya pada awal pagi.

Pada 13 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan bahawa satu inkues akan dijalankan berhubung kematian pelajar itu selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.

Sebelum itu, AGC pada 8 Ogos 2025 memaklumkan bahawa jenazah Zara Qairina akan digali semula bagi membolehkan proses bedah siasat dijalankan.

Proses penggalian semula jenazah pelajar itu di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang selesai pada 7.15 malam 9 Ogos 2025.

Inkues berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu itu bermula pada 13 Sept tahun lepas.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement