[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Inkues Zara Qairina: Maklumat peribadi tersebar, prosiding libat saksi pelajar ditangguh

Yasmin Natasha 19/09/2025 | 06:39 MYT
Koroner menyatakan kekecewaan terhadap kebocoran maklumat yang mengganggu perjalanan prosiding dan memutuskan sesi keterangan saksi bawah umur itu akan dijalankan secara tertutup. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Prosiding inkues yang sepatutnya mendengar keterangan saksi dalam kalangan pelajar pada petang ini ditangguhkan ke Isnin depan berikutan penyebaran maklumat peribadi saksi di media sosial.


Ringkasan AI
  • Prosiding inkues yang sepatutnya mendengar keterangan saksi pelajar ditangguhkan ke Isnin depan susulan penyebaran maklumat peribadi saksi di media sosial, termasuk nama, alamat dan nombor telefon, yang disifatkan sebagai satu bentuk intimidasi.
  • Koroner menyatakan kekecewaan terhadap kebocoran maklumat yang mengganggu perjalanan prosiding dan memutuskan sesi keterangan saksi bawah itu akan dijalankan secara tertutup mengikut Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak, dengan kehadiran pendamping bukan saksi.
  • Mahkamah turut membenarkan kehadiran pegawai undang-undang daripada Kementerian Pendidikan dan Sabah Law Society dalam prosiding tertutup yang akan berlangsung pada hari Isnin.


Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili salah seorang pelajar tersebut berkata, maklumat yang tersebar di aplikasi TikTok telah mendedahkan butiran penuh saksi tersebut termasuk nama penuh, alamat tempat tinggal dan nombor telefon.

“Laporan pihak polis akan dibuat dalam masa terdekat oleh pihak kami.

“Orang yang tidak bertanggungjawab itu juga telah mendedahkan penerangan bertulis saksi dua perenggan pertama dan perenggan terakhir serta muka surat tandatangan terakhir.

“"Perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Bagi saya, ini satu bentuk intimidasi. Pegawai pendakwa juga memaklumkan perkara ini akan disiasat.

"Saya turut bersimpati dengan ibu bapa kanak-kanak itu kerana mereka perlu melalui keadaan ini," katanya.

Dalam pada itu, Koroner Amir Shah Amir Hassan menyatakan kekecewaannya terhadap kebocoran maklumat itu kerana ia menyebabkan gangguan dan penangguhan terhadap prosiding yang sudah memasuki hari ke-10 hari ini.

Beliau berkata, prosiding pada Isnin ini akan dijalankan secara tertutup membabitkan saksi bawah umur itu yang akan ditempatkan di bilik saksi.

Bagi prosiding secara tertutup mengikut Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak, saksi akan berada di bilik khas, dibantu seorang jurubahasa dan seorang 'pendamping' pilihan mereka.

"Namun, pendamping ini tidak boleh daripada individu yang berpotensi menjadi saksi. Jika dia berpotensi menjadi saksi, maka individu lain perlu dilantik, sebaiknya dari kalangan waris terdekat.

"Dari segi susunan tempat duduk, kanak-kanak itu akan berada di hadapan kamera, manakala pendamping di belakang tetapi masih kelihatan dalam rakaman kamera," katanya.

Mahkamah Koroner juga membenarkan pegawai undang-undang daripada Kementerian Pendidikan (KPM) dan Sabah Law Society untuk turut hadir dalam prosiding itu.


#Zara Qairina #inkues Zara Qairina #saksi bawah umur #maklumat peribadi tersebar