MALAYSIA

Inkues Zara Qairina: Pakar patologi sambung keterangan punca kematian

Astro Awani 04/09/2025 | 01:45 MYT
Prosiding hari kedua inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini menyaksikan Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth, Dr Jessie Hiu menyambung keterangannya berhubung punca kematian remaja itu.
KOTA KINABALU: Prosiding hari kedua inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini menyaksikan Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu menyambung keterangannya berhubung punca kematian remaja berusia 13 tahun itu.

Dr Jessie menjawab soalan daripada Pegawai Pengendali Jabatan Peguam Negara (AGC) serta peguam mewakili ibu bapa arwah dan peguam bela lima remaja yang berdepan pertuduhan buli di Mahkamah Kanak-Kanak.

Pada Rabu, Dr Jessie mendedahkan kecederaan yang dialami arwah adalah konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi, namun menegaskan ia tidak mungkin berlaku secara tidak sengaja atau akibat ditolak dari koridor tingkat tiga asrama sekolah pada 16 Julai lalu.

Beliau menjelaskan, hasil pemeriksaan lokasi menunjukkan ketinggian pagar konkrit dan palang besi di tingkat tiga melebihi pusat graviti tubuh mangsa, sekali gus menolak kemungkinan arwah jatuh sendiri atau ditolak. Sebaliknya, beliau berpendapat arwah berkemungkinan memanjat pagar konkrit sebelum terjatuh.

Selain keterangan bertulis, Dr Jessie turut mengemukakan 172 keping gambar bedah siasat yang dilakukan pada 10 Ogos lalu bagi menjelaskan kecederaan dialami Zara Qairina.

Dalam keterangannya juga, Dr Jessie berkata, Zara Qairina mengalami kecederaan otak traumatik yang teruk dengan ensefalopati iskemia hipoksik.

Mangsa disahkan meninggal dunia di HQE pada jam 1.07 tengah hari, 17 Julai, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya di Papar.

Inkues ini dijadualkan berlangsung selama 19 hari bermula 2 September dengan seramai 68 saksi akan dipanggil memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Prosiding seterusnya ditetapkan pada 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September.






#inkues Zara Qairina #Zara Qairina Mahathir #pakar patologi #Dr Jessie Hiu