MALAYSIA

Inkues Zara Qairina: Patung dibawa ke mahkamah sebagai rujukan

Astro Awani 04/09/2025 | 03:00 MYT
Prosiding hari kedua inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini mencuri tumpuan apabila pasukan peguam bela hadir bersama sebuah patung. - Gambar Astro AWANI
KOTA KINABALU: Prosiding hari kedua inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 15, di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini mencuri tumpuan apabila pasukan peguam bela hadir bersama sebuah patung.

Patung itu dibawa oleh peguam bela remaja tertuduh, Datuk Ram Singh bersama rakan guamannya, bagi membantu Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, menunjukkan kedudukan serta kecederaan yang dialami mangsa.

Dr Jessie dijangka menyambung keterangannya dengan menjawab pertanyaan Pegawai Pengendali daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), selain soalan daripada pihak berkepentingan termasuk ibu dan bapa arwah melalui peguam masing-masing.

Pasukan peguam yang mewakili lima remaja tertuduh dalam kes buli di Mahkamah Kanak-Kanak turut dijangka mengemukakan soalan kepada saksi.

Semalam, Dr Jessie dalam keterangannya memaklumkan bahawa kecederaan dialami Zara Qairina adalah konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.

Beliau turut menegaskan, adalah mustahil kejadian itu berlaku akibat terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari koridor tingkat tiga asrama sekolah, sebelum mangsa ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan berkenaan pada awal pagi 16 Julai lalu.



#inkues Zara Qairina #mahkamah koroner #Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth #peguam Ram Singh