Inkues Zara Qairina: Saksi dedah tomboi pernah ganggu Zara

Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri berhampiran bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Saksi remaja bawah umur ke-32 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu mahkamah bahawa Allahyarham mendakwa bahawa dia pernah diganggu oleh seorang pelajar perempuan tomboi yang obses terhadapnya.
Saksi keseluruhan yang ke-41 itu memberi keterangannya dalam inkues ini secara 'in camera' di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan di Mahkamah Koroner, di sini, pada Isnin.
Peguam, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata, saksi merupakan kawan rapat Zara Qairina sejak bersekolah di sekolah agama rendah negeri dan mereka berada di kelas agama yang sama.
Katanya, saksi memberitahu bahawa sepanjang persahabatan mereka, dia menyedari bahawa Zara Qairina seorang yang mudah cemburu sebagai contohnya sekiranya saksi rapat dengan orang lain.
"Saksi berkata, Zara pernah memaklumkan bahawa dia diganggu oleh seorang pelajar perempuan tomboi di sekolah menengah yang terlalu obses dengannya, hingga melakukan perbuatan tidak senonoh...
"Selain itu, saksi juga memaklumkan bahawa pada bulan Jun 2025, Zara telah menggunakan akaun TikTok milik saksi untuk menghantar mesej kepada seseorang yang tidak dikenali dengan tujuan menasihati individu tersebut supaya tidak mengganggu Zara di sekolah dan di akaun TikTok miliknya.," katanya kepada pemberita pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini.
Katanya lagi, saksi juga memaklumkan bahawa pada Mei tahun lalu mereka telah mula menulis diari bersama-sama yang digunakan secara bergilir-gilir.
"Saksi dan Zara menulis tentang persahabatan mereka di dalam diari yang dikongsi bersama.
"Selain saksi dan Zara, tidak ada orang lain yang boleh membaca diari ini. Kali terakhir saksi nampak diairi tersebut adalah bulan Februari 2025," katanya.
Mohd Syarulnizam bersama rakan sepasukannya iaitu Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili Ibu kepada Zara Qairina, Noraidah Lamat.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri berhampiran bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada keesokan harinya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


