MALAYSIA

Inkues Zara Qairina: Saksi dengar mangsa mengadu kepada ibunya tentang pelajar senior

Yasmin Natasha 12/11/2025 | 04:08 MYT
Mahkamah Koroner hari ini mendengar keterangan saksi pelajar ke-35 dalam prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini mendengar keterangan saksi pelajar ke-35 dalam prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, yang mendedahkan bahawa Zara pernah mengadu kepada ibunya mengenai tekanan dan ejekan daripada pelajar senior di sekolah.


Ringkasan AI
  • Saksi pelajar ke-35 mendedahkan bahawa Zara pernah mengadu kepada ibunya tentang tekanan dan ejekan daripada pelajar senior di sekolah.
  • Malam sebelum kematian, Zara dituduh mencuri dompet dan digelar "sok-sok Badar" oleh beberapa pelajar lain.
  • Zara dikenal pasti aktif mencatat nama pelajar yang tidak solat, yang menjadi punca ketidaksenangan dalam kalangan pelajar lain.


Saksi, seorang bekas pelajar tingkatan satu di SMKA Tun Datu Mustapha, memaklumkan bahawa pada Mei lalu, ketika minggu peperiksaan pertengahan tahun, Zara telah meminjam kad panggilan miliknya untuk menghubungi ibunya.

Menurut saksi, dia terdengar perbualan antara Zara dan ibunya, di mana Zara mengadu bahawa seorang pelajar senior serta beberapa rakan lain sering bercakap buruk tentang dirinya.

“Terdapat pelajar tingkatan dua yang tidak menyukai Zara kerana dia gemar mencatat nama pelajar yang tidak menunaikan solat,” katanya.

Saksi turut memaklumkan bahawa kali terakhir dia bertemu Zara adalah pada 6 Julai 2025 di Musolla (surau) ketika waktu Zohor.

Pada ketika itu, Zara bertugas sebagai badar dan sedang mencatat nama pelajar yang tidak solat.

Dalam keterangannya, saksi juga menceritakan kejadian malam sebelum insiden kematian Zara, iaitu pada 15 Julai 2025.

Ketika sedang mencuci pakaian bersama rakan di aras bawah asrama, seorang pelajar junior tiba-tiba menjerit “emergency, emergency!” sambil memaklumkan bahawa dompet seorang pelajar telah hilang.

Pelajar tersebut menyatakan bahawa jika dompet itu tidak dijumpai, ibunya akan memindahkannya ke sekolah lain.

Tidak lama kemudian, pelajar sama mendakwa dompet telah dijumpai dan menuduh Zara sebagai pencuri.

Saksi turut menyatakan bahawa pada malam sama, dia mendengar beberapa pelajar bercakap buruk tentang Zara, termasuk menggelarnya “sok-sok Badar”.

Prosiding inkues dijadual bersambung semula pada Isnin, 17 November 2025.





#Zara Qairina Mahathir #inkues Zara Qairina #mahkamah koroner #mengadu kepada ibu