Harga RON95 Turun kepada RM1.99 Bermula 30 September – PM Anwar
MALAYSIA

Inkues Zara Qairina: Saksi pelajar mula beri keterangan hari ini

Yasmin Natasha 22/09/2025 | 01:20 MYT
Mahkamah Koroner dijadual mendengar keterangan daripada saksi kanak-kanak dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir mulai hari ini.
KOTA KINABALU: Memasuki hari ke-11 prosiding inkues kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, dijangka saksi pelajar pertama yang dituduh akan memberi keterangan hari ini.

Bagaimanapun, pihak media tidak dibenarkan memasuki kamar mahkamah kerana saksi berkenaan merupakan individu bawah umur 18 tahun.

Kanak-kanak terbabit yang dinamakan A, B, C, D dan E diwakili pasukan peguam masing-masing selepas permohonan mereka sebagai pihak berkepentingan dalam inkues berkenaan dibenarkan oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan pada 3 September lalu.

Kanak-kanak A diwakili peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala kanak-kanak B, C, D dan E oleh peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan.

Prosiding inkues itu masih berlangsung di hadapan Koroner Amir Shah.

Pada 20 Ogos lalu kelima-lima kanak-kanak terbabit mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Kanak-Kanak atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara Qairina mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Kesemua tertuduh kanak-kanak terbabit dibenar ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan RM1,000 sebagai deposit, manakala sebutan semula kes dijadual pada 25 November ini.

Berdasarkan pertuduhan, kelima-lima tertuduh mencapai niat bersama dengan menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara Qairina di sebuah sekolah di Papar pada jam 10 hingga 11 malam, 15 Julai lalu.

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di sekolahnya awal pagi pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini berpunca daripada kecederaan otak traumatik teruk dengan komplikasi hiposia iskemia (HIE).

Secara keseluruhan, seramai 35 saksi kanak-kanak dijangka dipanggil memberi keterangan pada inkues berkenaan bermula hari ini hingga semua jumlah itu selesai memberi keterangan.



#Zara Qairina Mahathir #inkues #mahkamah koroner #inkues Zara Qairina