[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Inkues Zara Qairina: Seorang pelajar yang dituduh pindah sekolah selepas kejadian - Saksi

Yasmin Natasha 18/09/2025 | 03:30 MYT
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di tepi longkang berhampiran asrama sekolah itu pada pagi 16 Julai.
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini, hari ini, dimaklumkan bahawa salah seorang pelajar yang dituduh di mahkamah dalam kes membabitkan Allayarham Zara Qairina Mahathir, telah berpindah ke sekolah lain.

Perkara tersebut didedahkan saksi kelapan, Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, yang memberitahu pelajar itu berpindah beberapa minggu selepas kematian Allayarham.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan peguam keluarga Allahyarhamah, Shahlan Jufri.

Shahlan: Saya difahamkan pelajar A sudah berpindah sekolah?

Azhari: Ya

Shahlan: Jadi yang masih sekolah di sana buat masa ini hanya pelajar B,C,D dan E?

Azhari: Ya

Shahlan: Saya difahamkan selepas kes Zara, Kementerian Pendidikan Malaysia membekukan pemindahan pelajar lain? Bagaimana pelajar A ini boleh pindah sekolah?

Azhari: Tidak pasti, itu bukan tugas saya.

Bagaimanapun, menurut Azhari, beliau tidak mengetahui alasan sebenar pemindahan pelajar terbabit kerana urusan berkenaan bukan di bawah bidang tugasnya.

Namun, katanya pelajar lain yang turut dituduh masih bersekolah di SMKA Tun Datu Mustapha dan telah dipanggil untuk sesi kaunseling serta diambil keterangan.

Media sebelum ini melaporkan, lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak di sini pada 20 Ogos atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.

Mereka didakwa dalam mencapai niat bersama, telah menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, 13, yang mana perkataan tersebut didengari oleh mangsa yang mungkin menyebabkan pelajar itu terganggu dengan perkataan tersebut.

Kelima-lima pelajar didakwa melakukan perbuatan itu di blok Asrama Rabiatul Adawiyah Dorm A-3-6, SMKA Tun Datu Mustapha Limauan W.D.T 15, Papar, dekat sini antara jam 10 malam dan 11 malam, pada 15 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di tepi longkang berhampiran asrama sekolah itu pada pagi 16 Julai.



#Ketua Warden Asrama #Zara Qairina Mahathir #pelajar pindah sekolah #inkues Zara Qairina