MALAYSIA

Inkues Zara Qairina: Tiada DNA asing dikesan pada spesimen mangsa

Yasmin Natasha 07/10/2025 | 10:07 MYT
Pasukan peguam yang mewakili ibu Allayarham Zara Qairina Mahathir. -Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner, di sini, hari ini, diberitahu bahawa tiada DNA asing atau DNA lelaki signifikan dikesan pada mana-mana spesimen biologi yang dikaitkan dengan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Koroner dimaklumkan tiada DNA asing atau DNA lelaki signifikan dikesan pada spesimen biologi Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
  • Beberapa barangan menunjukkan profil DNA campuran yang tidak konklusif, berkemungkinan berpunca daripada sentuhan biasa atau perkongsian ruang di asrama.
  • Pemeriksaan dokumen oleh pakar forensik dijadualkan bermula 10 hingga 17 Oktober, melibatkan 37 ekshibit termasuk helaian tulisan untuk perbandingan.


Peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata, berdasarkan keterangan saksi yang merupakan ahli kimia iaitu Nor Aidora Saedon, hasil analisis menunjukkan profil DNA Zara Qairina padan sepenuhnya dengan spesimen biologi utama seperti tisu, tulang, dan kesan darah yang diperoleh.

“Tiada DNA asing atau DNA lelaki signifikan dikesan pada spesimen biologi termasuk swab, buku, pakaian dalam, atau spesimen tubuh.

"Saksi juga menjelaskan bahawa sekiranya seseorang memegang permukaan seperti railing, DNA surih boleh tertinggal bergantung kepada tempoh sentuhan, peluh atau sel kulit yang dilepaskan.

"Namun begitu, DNA tersebut boleh hilang sepenuhnya sekiranya permukaan dibersihkan atau terdedah kepada cuaca," katanya semasa sidang media, di sini.

Menurut saksi, DNA surih adalah DNA daripada sentuhan yang mana ia terhasil daripada 'contact or transfer', bukan darah ataupun air mani, dan hadir dalam kuantiti yang sedikit serta penghasilannya boleh terjadi melalui sentuhan sengaja ataupun tidak disengajakan.

Saksi turut memaklumkan bahawa bahan ekshibit bertanda Y2 hingga Y15 yang sebelum ini ditender di mahkamah untuk pemeriksaan tulisan, tidak diserahkan kepadanya bagi pemeriksaan DNA. Hanya ekshibit Y1 dan Y8 diterima untuk analisis tersebut.

Tambahnya, beberapa barangan seperti buku, beg dan selimut menunjukkan profil DNA campuran yang tidak konklusif dan boleh berpunca daripada kesan sentuhan biasa atau perkongsian ruang di asrama.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Syarulnizam memaklumkan bahawa sesi pembukaan rasmi 37 ekshibit telah dijalankan hari ini bagi membolehkan pemeriksaan oleh pakar dokumen forensik dijadualkan bermula pada 10 hingga 17 Oktober ini.

Katanya, sebanyak 11 item daripada ekshibit WK2 hingga WK15 akan diperiksa, termasuk helaian kertas dan dokumen yang dibekalkan oleh ibu kepada mendiang, Zahara, untuk tujuan perbandingan tulisan.

“Semua dokumen yang dibekalkan akan diperiksa oleh Jabatan Kimia selepas selesai sesi pemeriksaan oleh pasukan kami bagi memastikan penilaian yang adil,” katanya.





#Zara Qairina Mahathir #inkues #DNA #Mohd Syarulnizam Mohd Salleh