MALAYSIA
Inkues: Zara Qairina tidak pernah mengadu masalah di asrama - Ketua Warden
Ketua Warden Asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, tidak pernah menerima aduan daripada Zara Qairina (foto) mengenai sebarang masalah di asrama. -Gambar fail
KOTA KINABALU: Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau tidak pernah menerima aduan daripada Zara Qairina Mahathir mengenai sebarang masalah yang dihadapinya di asrama tersebut.
Ringkasan AI
Azhari Abd Sagap, 31, yang turut mengajar subjek Bahasa Arab kepada Zara Qairina, berkata demikian di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada hari kelapan prosiding inkues berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu itu.
Saksi kelapan itu berkata Zara Qairina, yang belajar di kelas Tingkatan 1 Fatimah, tinggal di Asrama Qurratu Ayun di tingkat 3 Blok Rabiatul Adawiyah bersama 11 pelajar lain dan bangunan tersebut berada di bawah seliaannya.
"Sepanjang menjadi guru Bahasa Arab dan sebagai Ketua Warden Asrama, saya tidak pernah menerima apa-apa aduan daripada pelajar berkenaan berhubung apa-apa masalah yang dihadapinya di asrama tersebut," katanya ketika membacakan pernyataan saksi.
Menceritakan insiden pada 16 Julai, Azhari berkata beliau mendapat panggilan daripada pengawal keselamatan iaitu Linah Mansoding @ Jaliha, 65, pada 3.04 pagi mengenai kejadian malang yang menimpa remaja itu.
"Apabila di bangunan asrama tersebut, saya melihat Zara Qairina terbaring di longkang asrama dalam keadaan tidak sedarkan diri... pada pengamatan saya, Zara Qairina dalam keadaan bernafas seperti tidur berdengkur.
"Ketika itu, lima pelajar dan Linah berada bersama saya... saya meminta mereka mengangkat Zara dari kawasan longkang ke kawasan terlindung yang rata iaitu di atas simen," katanya.
Azhari berkata semasa mengangkat Zara Qairina, beliau nampak kesan darah di bucu longkang serta kesan kecederaan pada bahagian pergelangan kaki mangsa, dan terus menghubungi talian kecemasan 991 untuk mendapatkan bantuan pada 3.17 pagi.
Saksi itu berkata beliau kemudian menghubungi Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sebelum ke rumah Pengetua iaitu Ustazah Shaharoom Hashim yang terletak berdekatan asrama untuk memaklumkan kejadian tersebut.
Azhari berkata beliau juga cuba menghubungi nombor telefon ibu bapa mangsa untuk memaklumkan insiden itu namun tidak berjaya.
"Saya kemudian menghubungi nombor 991 buat kali kedua pada 3.47 pagi.
"Zara Qairina kemudiannya dibawa ke hospital dengan ambulans yang tiba sebelum 4 pagi," katanya sambil menambah susulan kejadian itu, beliau telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lepas.
Dia dimasukkan ke hospital berkenaan sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis, manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
-- BERNAMA
Ringkasan AI
- Ketua Warden Asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, tidak pernah menerima aduan daripada Zara Qairina mengenai sebarang masalah di asrama.
- Zara tinggal di tingkat 3 Blok Rabiatul Adawiyah bersama 11 pelajar lain dan insiden berlaku pada 16 Julai, dimaklumkan kepada Azhari oleh pengawal keselamatan pada jam 3.04 pagi.
- Azhari merupakan saksi kelapan dalam prosiding inkues kematian Zara yang berlangsung di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.