KUALA LUMPUR: Astro dengan kerjasama Kementerian Ekonomi serta Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) melancarkan pertandingan realiti berteraskan sains, teknologi dan inovasi, INNOVATHON yang mengetengahkan bakat dan idea inovatif peserta bagi mencari penyelesaian isu sosioekonomi.

Pertandingan yang buat julung kali diterbitkan secara besar-besaran menerusi saluran Astro menyaksikan penyertaan seramai 1,033 individu dari seluruh negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, tidak kira apa juga bidang mahupun kebolehan, INNOVATHON bertujuan mencungkil idea-idea inovatif dalam kalangan rakyat Malaysia bagi memperkasakan bakat mereka dan memberikan peluang untuk berdaya saing dalam memperkembangkan idea masing-masing.

“Kerajaan berpandangan bahawa kita perlu mengarusperdanakan inovasi kerana ia mempunyai kepentingan yang strategik kepada pertumbuhan ekonomi negara, justeru itu kita melihat insiatif ini boleh menjadi jalan melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia berkecimpung dalam rangkaian produk serta perkhidmatan berasaskan inovasi.

“Misi kita adalah bagaimana menterjemahkan perkara yang berat seperti inovasi ini menjadi sesuatu yang boleh diterima dalam bentuk pembelajaran tidak langsung kepada rakyat… dan setiap individu mampu berinovasi meskipun tanpa mempunyai tahap akademik tinggi,” katanya.

INNOVATHON: Program realiti memfokuskan penyelesaian isu sosioekonomi

Beliau berkata demikian ketika sidang media majlis pelancaran program INNOVATHON di Hotel Royale Chulan di sini pada Selasa.

Sebanyak 56 idea daripada pelbagai lapisan masyarakat telah dipilih menerusi sesi uji bakat yang menyaksikan peserta berentap menerusi program INNOVATHON yang bakal bersiaran sebanyak 8 episod.

Kerjasama ini menyaksikan buat julung kalinya dua Menteri Kabinet Malaysia menyertai INNOVATHON sebagai panel juri iaitu Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri MOSTI, Chang Lih Kang.

Dalam pada itu Lih Kang berkata, program ini tidak hanya dapat mencungkil bakat dalam masyarakat, sebaliknya mampu menarik minat inovasi-inovasi dalam diri mereka dan peluang pembangunan ini perlu dimanfaatkan oleh semua.

“Inovasi bukan sesuatu yang sangat mega sehingga melibatkan golongan berpelajaran atau mempunyai kelayakan akademik tinggi semata-mata tetapi setiap orang mampu berinovasi kerana solusi itu sebenarnya ada dalam kehidupan kita.

“Malah, menerusi program ini para inovator… kita dapat saksikan ada diantara mereka memperoleh pelaburan serta-merta daripada juri jemputan kita, ini kerana juri-juri yang terlibat turut merupakan dalam kalangan pemimpin daripada pelbagai syarikat permodalan,” ujarnya.

Usahawan wanita serta pelakon popular, Nur Fazura turut memegang peranan sebagai juri manakala Awal Ashaari dan Datin Lisa Surihani akan menjadi hos bagi rancangan ini.

Pengacara tersohor negara, Datuk Aznil Nawawi pula berperanan sebagai Mentor INNOVATHON yang membimbing dan memberi motivasi kepada para peserta.

INNOVATHON akan ditayangkan setiap hari Sabtu bermula 15 Julai 2023, pukul 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (Saluran 104).

Program INNOVATHON menawarkan hadiah wang tunai dan sokongan pembangunan perniagaan sehingga RM1 juta kepada pemenang bagi menambah baik dan mengkomersialkan produk inovasi mereka.