Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Inovasi kunci peralihan ekonomi berasaskan penciptaan nilai - Nga

Bernama 09/10/2025 | 12:30 MYT
Kerajaan bertekad mempercepat peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai dengan memupuk budaya inovasi dan kreativiti, terutamanya dalam perkhidmatan awam, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan bertekad mempercepat peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai dengan memupuk budaya inovasi dan kreativiti, terutamanya dalam perkhidmatan awam, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.


Ringkasan AI
  • Menteri Nga Kor Ming menegaskan kerajaan komited mempercepat peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai dengan memupuk budaya inovasi dan kreativiti, terutama dalam sektor awam.
  • Beliau menyeru Malaysia beralih daripada pengguna kepada peneraju teknologi serta pengeluar produk dan perkhidmatan bertaraf dunia.
  • Nga berkata peningkatan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global dan IMD World Competitiveness Ranking membuktikan hala tuju kerajaan MADANI berada di landasan tepat.


Beliau berkata inovasi dan penciptaan nilai ialah kunci bagi memastikan Malaysia tidak sekadar menjadi pengguna, sebaliknya muncul sebagai peneraju teknologi serta pengeluar produk dan perkhidmatan bertaraf dunia.

"Ini memerlukan kita membulatkan tekad untuk mempercepat peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai dengan memupuk budaya inovasi.

"Malaysia perlu bingkas daripada sekadar menjadi pengguna, kepada peneraju teknologi dan pengeluar produk serta perkhidmatan 'Made by Malaysia' yang bertaraf dunia," katanya ketika merasmikan Hari Inovasi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 2025 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nga berkata idea baharu yang mampu meningkatkan kecekapan, produktiviti serta kualiti perkhidmatan akan mendorong penjawat awam untuk berfikir secara kreatif dalam mencari penyelesaian luar kotak seterusnya memberi manfaat kepada negara.

"Kita juga boleh tingkatkan hasil pendapatan negara tanpa membebankan rakyat. Itulah hala tuju dan dasar kerajaan MADANI, iaitu berdaya saing, berdaya cipta dan pastikan negara kita terus dijulang," katanya.

Nga berkata pencapaian negara dalam Indeks Inovasi Global 2025 ke tangga ke-34 daripada 139 dan peningkatan ke tangga ke-23 dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025 membuktikan hala tuju kerajaan dalam melonjak inovasi berada di landasan tepat.

"Peningkatan ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan MADANI dalam membina ekosistem inovasi yang mampan, inklusif dan berdaya saing," katanya.

-- BERNAMA




#kunci peralihan ekonomi #inovasi dan kreativiti #perkhidmatan awam #Nga Kor Ming