MALAYSIA

Insiden bot karam: Dua lagi mayat ditemukan di perairan Langkawi

Bernama 12/11/2025 | 08:21 MYT
Penemuan itu sekali gus menjadikan 22 mangsa ditemukan maut setakat ini manakala 14 lagi dijumpai selamat. - Gambar fail/Bernama
LANGKAWI: Operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand di Langkawi yang memasuki hari keempat, hari ini telah menemukan dua lagi mayat pagi tadi.


Ringkasan AI
  • 22 mangsa ditemui mati dan 14 selamat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand di Langkawi.
  • Penemuan dua mayat terbaru dilaporkan oleh Pasukan Polis Marin dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
  • Operasi menyelamat melibatkan 200 pegawai dan anggota pelbagai agensi serta 14 aset udara dan laut dari Maritim Malaysia, PDRM, TLDM, JBPM, PPM, dan APM.


Penemuan itu sekali gus menjadikan 22 mangsa ditemukan maut setakat ini manakala 14 lagi dijumpai selamat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata pada 10.10 pagi, Pasukan Polis Marin (PPM) telah menjumpai satu mayat lelaki terapung di perairan berhampiran Pulau Singa Besar.

"Mayat berkenaan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia oleh bot PSC 19 dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Tidak lama selepas itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut memaklumkan menemukan satu mayat lelaki di Selat Chincin berhampiran Pulau Anak Datai. Mayat dibawa ke Jeti Kubang Badak dan diserahkan kepada polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi yang disambung 7.30 pagi tadi telah diperluas dengan keluasan merangkumi 329.67 batu nautika persegi melibatkan pembahagian kepada 14 sektor pencarian.

"Operasi disertai 200 pegawai dan anggota pelbagai agensi termasuk melibatkan kekuatan 14 aset udara dan laut dari Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), JBPM, PPM serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

-- BERNAMA






#insiden bot karam #Langkawi #mayat ditemui #Maritim Malaysia