MALAYSIA
Insiden bot terbalik: Polis sudah rakam keterangan tiga saksi

Siasatan tertumpu kepada kemungkinan unsur jenayah, manakala aspek teknikal seperti lesen bot diserahkan kepada agensi lain seperti Jabatan Laut Malaysia.
KUALA TERENGGANU: Polis telah mengambil keterangan daripada tiga saksi berhubung insiden Sabtu lepas yang menyaksikan tiga maut selepas sebuah bot penumpang terbalik di perairan Pulau Perhentian.
Ringkasan AI
- Polis telah mengambil keterangan daripada tiga saksi termasuk pemandu bot, abangnya dan seorang mangsa berhubung insiden bot terbalik di Pulau Perhentian yang mengorbankan tiga nyawa.
- Siasatan tertumpu kepada kemungkinan unsur jenayah, manakala aspek teknikal seperti lesen bot diserahkan kepada agensi lain seperti Jabatan Laut Malaysia.
- Pemandu bot yang positif dadah dan mempunyai lima rekod lampau kini direman dan akan didakwa di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Siasatan polis memfokus kepada kejadian... Sama ada terdapat wujud unsur jenayah... Aspek lain seperti bot atau pelanggaran lesen, ia melibatkan agensi lain seperti Jabatan Laut Malaysia," katanya pada Majlis Serah Tugas Timbalan Ketua Polis Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP Arsad Kamaruddin secara rasmi dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Terengganu menggantikan Datuk Wan Rukman Wan Hassan yang bersara wajib.
Dalam insiden Sabtu lepas, tiga penumpang maut selepas bot yang dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak besar di sekitar perairan Pulau Perhentian.
Kejadian berlaku apabila bot berkenaan yang membawa 15 penumpang berumur tiga hingga 40 tahun dalam perjalanan ke Pulau Perhentian Besar, terbalik akibat dipukul ombak besar, dan Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad@Abu kemudiannya mengesahkan bahawa pemandu bot berkenaan positif dadah selain mempunyai lima rekod lampau berkaitan bahan terlarang itu.
Azamuddin ketika dihubungi Bernama hari ini berkata suspek berusia 22 tahun kini ditahan reman bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, akan didakwa di mahkamah esok.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami