Insiden DASH: Kebajikan mangsa jadi keutamaan - Prolintas

Faris Danial Razi
Jun 21, 2021 16:48 MYT
Pemaju projek Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) akan memberi keutamaan dan perhatian sepenuhnya terhadap kebajikan mangsa kejadian perancah besi yang runtuh kelmarin. - Foto PDRM
KUALA LUMPUR: Segala urusan berkaitan kebajikan mangsa kejadian perancah besi jatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) akan diberi keutamaan dan perhatian sepenuhnya.
Menurut Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd (Prolintas) yang merupakan pemaju bagi projek tersebut, pihaknya akan memastikan kontraktor utama dan sub kontraktor berkaitan menguruskan semua tugas-tugas kebajikan.
“DASH akan memastikan kontraktor utama iaitu Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bersama dengan sub kontrator berkaitan yang merupakan majikan pekerja pembinaan tersebut menguruskan serta menyelesaikan urusan penghantaran pulang jenazah.
“Sementara itu, seorang lagi pekerja yang cedera kini masih diberikan rawatan dan dalam keadaan stabil,” jelas kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin tersebut.
Pada masa sama, pihak Prolintas memaklumkan syarikat itu akan sentiasa memantau kebajikan pekerja yang terlibat akan dijaga.
Terdahulu, dua pekerja warga Bangladesh dilaporkan cedera akibat terkena serpihan batu konkrit dan kerangka besi selepas perancah besi di tapak pembinaan DASH berhampiran susur keluar Kota Damansara, runtuh pada Sabtu lalu.
Bagaimanapun, seorang daripada pekerja Bangladesh itu disahkan meninggal dunia semalam di wad kecemasan Hospital Sungai Buloh (HSB).
#Bangladesh #Malaysian #Hospital Sungai Buloh #lebuhraya dash #lebuhraya #kemalangan #warga Bangladesh #PROLINTAS #MRCB