KUALA LUMPUR: Laluan lencongan dan penutupan jalan di Persiaran Alam Damai akan dilakukan oleh pihak Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berikutan kren gantri terjatuh di tapak pembinaan kawasan itu mengakibatkan dua buruh asing maut.

SUKE dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu dilakukan bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan di lokasi kemalangan mulai Isnin sehingga Ahad.

Ini bermakna, pengguna jalan raya dari Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menuju ke Alam Damai akan dilencongkan ke Jalan Cerdas (pasar malam Taman Connaught) untuk keluar ke Jalan Alam Damai berhampiran OCBC Bank melalui kawasan bangunan Altitude 36.

"Sepanjang penutupan jalan dijalankan, hanya penduduk tinggal di kawasan Altitude 36, Mandarina, Universiti UCSI dan Kondominium Puncak Banyan dibenarkan menggunakan laluan itu.

"Pengawal trafik lalu lintas, kon keselamatan, papan tanda amaran dan tunjuk arah akan diletakkan di sepanjang laluan terbabit," jelas SUKE.

BACA: NIOSH minta kontraktor semak semula aspek keselamatan di tapak bina 

BACA: Insiden kren gantri SUKE: Rasuk konkrit boleh jatuh jika mangsa tersepit dikeluarkan 

Manakala, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) yang merupakan pemegang konsensi lebuh raya berkenaan, memaklumkan kejadian difahamkan berlaku apabila satu daripada komponen kren gantri terjatuh, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Pagi tadi, lima buruh asing dan seorang warga tempatan dilaporkan terbabit dalam kejadian komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan SUKE, Jalan Alam Damai.

Sehubungan itu, SUKE menasihatkan orang awam mematuhi papan tanda arah, kelajuan, keselamatan dan arahan kakitangan bertugas untuk perjalanan lancar serta selamat di sepanjang laluan itu.