Penulis blog Papa Gomo dan aktivis 'Ali Tinju' direman dua hari mengikut Akta Hasutan kerana menyiarkan berita palsu mengenai insiden Plaza Low Yat pada Ahad sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Lapor The Malaysian Insider, peguam Ahmad Shuaib Ismail yang mewakili kedua-duanya berkata, polis pada mulanya memohon untuk mereman mereka selama empat hari akan tetapi majistret hanya membenarkan selama dua hari.

Ahmad Shuaib turut menambah, kedua-duanya ditahan mengkut Seksyen 4(1), Akta Hasutan 1948.

'Ali Tinju' atau nama sebenarnya Mohd Ali Baharom yang juga Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), ditahan kerana kenyataannya dalam sebuah video manakala Papa Gomo atau Wan Muhammad Azri Wan Deris ditahan kerana kenyataannya di dalam Twitter.

Antara pos yang disiarkan blogger itu yang mendapat perhatian di media sosial ialah gambar seorang lelaki berlumuran darah yang dikaitkan dengan insiden di Plaza Low Yat.

Gambar tersebut kemudiannya didapati bukan gambar sahih dan dari kes yang berbeza.

Sementara itu, seorang lagi suspek yang masih di dalam tahanan polis ialah ketua UMNO Bahagian Bagan, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin.

Menurut laporan Bernama malam ini, 24 orang telah dibebaskan pada Rabu dengan jaminan polis. Mereka yang dibebaskan termasuk empat jurujual telefon bimbit di plaza berkenaan serta perusuh yang terlibat dalam kejadian pergaduhan itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad dipetik berkata.

Insiden di Plaza Low Yat bermula pada Sabtu lepas apabila seorang pemuda dilaporkan mengunjungi sebuah kedai di sana untuk membeli telefon bimbit Lenovo S860 bernilai RM800.

Dikatakan pemuda terbabit kemudian melarikan diri bersama telefon bimbit itu.

Kejadian kejar-mengejar tercetus dan peniaga telefon bimbit di kedai lain telah menangkap suspek itu dan menyerahkannya kepada polis.

Bagaimanapun, dilaporkan rakan kepada suspek kemudian datang semula ke plaza itu dan menyerang pekerja kedai yang membantu memberkas suspek.

Pergaduhan tercetus di antara dua kumpulan di luar Plaza Low Yat pada Ahad selepas polis mengarahkan kumpulan yang ramai di luar premis itu bersurai.