SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

Insiden pesawat Hornet: Dua anak kapal dibenar keluar hospital, lembaga siasatan ditubuh cari punca nahas

Astro Awani 22/08/2025 | 04:29 MYT
Menurut Muhamad Norazlan, siasatan akan dilaksanakan secara menyeluruh mengikut prosedur keselamatan operasi penerbangan TUDM. - Sumber foto TUDM
KUALA LUMPUR: Dua juruterbang Tentera Udara Malaysia (TUDM) yang terbabit dalam kejadian pesawat F/A-18D Hornet terhempas di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang malam tadi dibenarkan keluar hospital dan kini menerima rawatan di Rumah Sakit Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, berkata juruterbang Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, mengalami kecederaan di bahagian belakang dan melecur (satu peratus) di tumit kiri manakala jurusensor senjata, Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 28, hanya lebam di beberapa bahagian badan.

Menurut Muhamad Norazlan, kemalangan berkenaan berlaku ketika pesawat berkenaan sedang berlepas untuk melakukan rutin latihan terbang.

Kedua-dua pegawai TUDM berkenaan menerima rawatan awal di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan sebelum dibawa ke Rumah Sakit Angkatan Tentera, awal pagi tadi.

F/A-18D Hornet


"Saya sendiri telah turun ke lokasi kejadian pagi ini untuk mendapatkan gambaran menyeluruh berhubung insiden berkenaan dan melawat dua pegawai terbabit bagi menzahirkan sokongan moral kepada mereka," menurut Muhamad Norazlan.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan pesawat pejuang TUDM F/A-18D Hornet yang terlibat dalam kemalangan itu telah musnah sepenuhnya.

Sehubungan itu, sebuah lembaga siasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut.

"Siasatan akan dilaksanakan secara menyeluruh mengikut prosedur keselamatan operasi penerbangan TUDM," kata beliau.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.05 malam tadi, pesawat berkenaan dilaporkan terhempas sebaik sahaja berlepas di landasan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah di Kuantan.

Berdasarkan visual yang tular, percikan api kelihatan sebelum berlaku letupan ketika pesawat itu berlepas.

Video tular turut menunjukkan juruterbang dan pegawai pengendali sistem persenjataan melompat keluar dari pesawat menggunakan kerusi anjal.









#pesawat F A-18D Hornet terhempas #Muhamad Norazlan Aris #Tentera Udara Diraja Malaysia #dua anak kapal cedera