Insiden Pulau Angsa: Bangkai helikopter APMM dijangka dibawa keluar petang ini

Bernama
Mac 5, 2024 08:00 MYT
Operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan CAAM serta MRCC Putrajaya pada 10.15 pagi selepas menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu daripada pemancing. -Gambar fail/Bernama
KUALA SELANGOR: Bangkai helikopter jenis AW139 kendalian Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa di sini pagi tadi dijangka dibawa keluar dari lokasi kejadian lewat petang ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor DSP Mohd Ambia Nordin berkata sehingga itu, polis melakukan pengawasan bagi memastikan keselamatan di sekitar lokasi kejadian.
"Saya telah ke lokasi kejadian dan kita menugaskan lapan anggota polis membantu APMM membuat kawalan keselamatan di lokasi kejadian.
"Kawalan keselamatan dibuat bertujuan mencegah orang awam daripada menghampiri lokasi kerana bangkai pesawat masih berada di sana dan di lokasi juga terdapat tumpahan minyak," katanya kepada pemberita di Jeti Pasir Penambang selepas meninjau lokasi insiden.
Terdahulu, APMM mengesahkan helikopter jenis AW139 milik agensi itu melakukan pendaratan cemas ketika menjalani latihan menyelamat di perairan Pulau Angsa, Selangor pada 9.55 pagi namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Pesawat yang diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria turut disertai Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno serta perenang penyelamat Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim.
-- BERNAMA
#helikopter terhempas #aw139 #APMM #Pulau Angsa