SHAH ALAM: Seorang bekas pelajar sebuah sekolah menengah di Segamat berjaya memperoleh ganti rugi lebih RM452,000 selepas Mahkamah Tinggi Muar memutuskan pihak sekolah cuai kerana gagal menyediakan penyeliaan munasabah sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan kekal pada mata dan otak ketika mengikuti kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK).
Memetik laporan The Star, Muhammad Syakir Irfan Syed Ali, 21, memfailkan saman itu terhadap sekolah berkenaan susulan kejadian yang berlaku ketika dia merupakan pelajar Tingkatan Dua di SMK Chaah pada 17 September 2019.
Saman tersebut difailkan melalui bapanya, Syed Ali Syed Hussein yang bertindak sebagai wakil litigasi kerana mangsa masih bawah umur ketika insiden berlaku.
Dalam kejadian itu, Muhammad Syakir mengalami kecederaan serius termasuk kecederaan tembus pada mata kiri, keretakan pada tengkorak dan pendarahan akut dalam otak sehingga mengakibatkan kecacatan klinikal kekal yang menjejaskan penglihatan serta fungsi neurologinya.
Defendan yang dinamakan dalam saman berkenaan ialah guru aktiviti sekolah, Nur Badruzzanan Mohamad; pengetua sekolah, Maziah Mohammad; Ketua Pengarah Pendidikan serta Kerajaan Malaysia.
Menurut fakta kes, kejadian berlaku ketika kelas PJK antara jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi apabila guru yang bertugas bersama seorang lagi guru mengawasi pelajar selepas mengasingkan mereka mengikut jantina sebelum menjalankan aktiviti frisbee.
Selepas aktiviti itu selesai, Muhammad Syakir mengambil raket badminton milik sekolah untuk bermain secara santai bersama seorang rakan sekelas.
Bagaimanapun, batang besi raket tersebut tiba-tiba tercabut daripada pemegangnya sebelum terkena mata kiri mangsa sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Hakim Mahkamah Tinggi, Kalyana Kumar memutuskan kesemua tuntutan memihak kepada plaintif dengan liabiliti ditetapkan 100 peratus ke atas defendan selepas meneliti keterangan dan bukti yang dikemukakan.
Mahkamah mendapati defendan gagal menyediakan penyeliaan yang mencukupi, munasabah dan berkesan sepanjang aktiviti berlangsung, sedangkan pelajar ketika itu berada di bawah jagaan, kawalan dan tanggungjawab operasi guru yang bertugas.
Mahkamah turut menganugerahkan plaintif ganti rugi am sebanyak RM400,000, ganti rugi khas RM12,809 dan kos guaman RM40,000. - Sinar Harian