Skip to main content

Malaysia

Insiden serang guru: Sekolah Antarabangsa Tunku Putra-HELP perketat keselamatan

TPH mengesahkan sesi persekolahan akan disambung semula hari ini selepas mendapat kebenaran daripada semua pihak berkuasa berkaitan, susulan penutupan awal sekolah semalam sebagai langkah berjaga-jaga atas nasihat polis. --fotoBERNAMA
TPH mengesahkan sesi persekolahan akan disambung semula hari ini selepas mendapat kebenaran daripada semua pihak berkuasa berkaitan, susulan penutupan awal sekolah semalam sebagai langkah berjaga-jaga atas nasihat polis. --fotoBERNAMA

Advertisement

KUCHING: Sekolah Antarabangsa Tunku Putra-HELP (TPH) mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan kampus dengan serta-merta, termasuk menempatkan tiga pegawai polis bantuan di kawasan sekolah, susulan kejadian seorang guru cedera akibat diserang pelajar, semalam.

Pihak pengurusan sekolah memaklumkan pemeriksaan keselamatan akan dilaksanakan di pintu masuk kampus berkuat kuasa serta-merta, sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh untuk mengkaji dan melaksanakan langkah-langkah keselamatan jangka panjang.

"Walaupun langkah-langkah keselamatan sedia ada dikekalkan, TPH telah menyemak protokol keselamatan dan meningkatkan langkah-langkah itu dengan pihak berkuasa berkaitan. Pihak sekolah juga sedang meneliti langkah-langkah keselamatan jangka panjang yang lebih menyeluruh.

"Pasukan Kepimpinan Kanan akan mengadakan perhimpunan bersama dengan pelajar berhubung kejadian itu, memberikan jaminan, menangani kebimbangan mereka dengan sewajarnya dan menyediakan sokongan kaunseling kepada mereka yang memerlukan," menurut sekolah berkenaan dalam hantaran Facebook semalam.

TPH juga mengesahkan bahawa sesi persekolahan akan disambung semula hari ini selepas mendapat kebenaran daripada semua pihak berkuasa berkaitan, susulan penutupan awal sekolah semalam sebagai langkah berjaga-jaga atas nasihat polis.

Mengulas keadaan mangsa, pihak sekolah memaklumkan bahawa guru yang cedera itu telah dibawa ke hospital oleh ambulans dan kini sedang pulih dengan baik tanpa mengalami kecederaan serius.

Pihak sekolah juga menjelaskan bahawa pelajar yang didakwa terlibat dalam kejadian itu telah ditahan polis dan bukan lagi pelajar aktif TPH, selain menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat spekulasi tentang insiden terbabit.

Terdahulu, Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak mengesahkan penahanan pelajar lelaki tingkatan empat itu, selain polis turut merampas sebilah pisau lipat dan kapak kecil yang dipercayai berkaitan dengan kes tersebut.

Beliau berkata pelajar itu telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya, serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement