GOMBAK: Seorang wanita warga emas ditahan polis berhubung insiden menyimbah asid terhadap pasangan suami isteri sehingga mengakibatkan mangsa cedera dalam kejadian di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, di sini minggu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Arifin Mohamad Nasir berkata, wanita berusia 60 tahun itu ditahan di Taman M Residensi, Rawang, kira-kira pukul 4.20 petang Ahad. 

"Suspek akan dibawa untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Kita siasat kes ini mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Noor Arifin memberitahu, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Ketika kejadian, mangsa yang berusia 60 tahun dan suaminya, seorang warga asing berusia 37 tahun, bersama anak lelaki mereka sedang masuk ke dalam lif sebelum didatangi wanita tidak dikenali menyimbah cecair dipercayai asid ke arah mangsa dan melarikan diri.

Kedua-dua mangsa menjerit kesakitan dan meluru keluar dari lif berkenaan untuk mendapatkan bantuan orang ramai.

Sebelum ini, tular sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang suspek berdiri berhampiran mangsa semasa mereka sekeluarga sedang menunggu lif sebelum menyimbah cecair dipercayai asid sejurus selepas mereka memasuki lif.