MALAYSIA
Insiden Sungai Korok: Ahmad Zahid sayu ziarah keluarga mangsa

Zahid Hamidi meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa tragedi enam sekeluarga yang ditemukan lemas di dalam sebuah kereta di Sungai Korok, Kedah. - Foto Facebook Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa tragedi enam sekeluarga yang ditemukan lemas di dalam sebuah kereta di Sungai Korok, Kedah, pada Selasa.
Dalam kunjungan itu, Ahmad Zahid menyatakan beliau tidak dapat menyembunyikan rasa sayunya apabila melangkah masuk ke perkarangan rumah keluarga mangsa.
"Sayu hati saya tatkala melangkah masuk ke perkarangan rumah keluarga. Setibanya saya di kediaman mereka, saya dapat melihat wajah-wajah yang sedang bergelut menahan duka, memeluk rindu yang tidak akan terbalas," katanya dalam hantaran di media sosialnya di sini, pada Selasa.
Lebih memilukan, kata Ahmad Zahid, hanya seorang anak perempuan berusia 12 tahun yang kini tinggal bersama neneknya selepas kehilangan enam insan tersayang serentak dalam tragedi itu."Dalam usia semuda itu, dia telah kehilangan enam insan tersayang serentak. Saya sempat bertemu dengan anak kecil ini dan sebagai seorang ayah, saya sendiri tidak dapat membayangkan betapa rapuhnya jiwa seorang anak menanggung kehilangan yang sebesar ini.
Beliau turut memaklumkan kerajaan sudah berusaha menyalurkan bantuan sewajarnya bagi membantu keluarga tersebut mengharungi ujian berat ini.
"Insya-Allah, kita telah usahakan segala bentuk bantuan yang sewajarnya. Saya mendoakan agar seluruh keluarga ini diberikan ketabahan dan kekuatan Allah SWT untuk menghadapi ujian berat ini.
"Sama-sama kita sedekahkan doa dan Al-Fatihah agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh," katanya lagi.
Sabtu lalu, enam beranak itu pada awalnya dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah ahli keluarga di Taman Seri Aman, Jitra pada kira-kira 5.30 pagi.
Misteri kehilangan enam beranak itu akhirnya terjawab apabila waris mengesahkan kesemua mayat yang ditemukan di dalam kereta yang berada di dalam Sungai Korok di Kampung Kemboja, Jitra pada awal pagi Isnin, ialah keluarga terbabit.
Berdasarkan siasatan awal, olis percaya kereta dinaiki enam sekeluarga itu terbabas dan terus ke dalam sungai berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami