Insiden tembakan TUDM: Arwah Sharif Mohd Siddiq pesan adik jangan lupa sembahyang

Bernama
Ogos 13, 2021 15:02 MYT
Menurut Sharif Mohd Saddam, arwah telah berkhidmat dengan TUDM selama kira-kira 12 tahun dan sebelum ini pernah bertugas di TUDM Kepala Batas, Kedah sebelum berpindah tugas di TUDM Kota Samarahan lebih dua tahun lalu. - Foto Astro AWANI
KOTA SAMARAHAN: "Jangan lupa sembahyang, ingat Allah setiap masa kerana kita tidak tahu bila masa akan pergi".
Itulah pesanan terakhir Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, 29, salah seorang mangsa insiden tembakan di Kem TUDM Kota Samarahan pagi tadi kepada adiknya Sharif Mohd Saddam Al-Attas.
Arwah menyampaikan pesanan tersebut kepada adiknya itu sebelum turun bekerja di kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kota Samarahan, pagi tadi.
Menurut Sharif Mohd Saddam, abangnya juga pernah menyatakan hasrat untuk pergi memancing bersama-samanya dalam masa terdekat, setelah membeli joran pancing baharu.
"Kami sekeluarga tidak menyangka abang pergi dalam sekelip mata, lagipun isteri arwah baru habis berpantang anak lelaki ketiganya yang baru berusia dua bulan," katanya dalam menahan tangisan ketika ditemui di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan hari ini.
Arwah mahukan keluarga besar - Adik mangsa
Perkembangan insiden tembakan TUDM dari rumah mayat HUS
Arwah merupakan anak kedua daripada tujuh orang adik beradik dan meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.
Menurut Sharif Mohd Saddam, arwah telah berkhidmat dengan TUDM selama kira-kira 12 tahun dan sebelum ini pernah bertugas di TUDM Kepala Batas, Kedah sebelum berpindah tugas di TUDM Kota Samarahan lebih dua tahun lalu.
Sementara itu, sahabat karib mangsa Mohd Nadzmir Mohideen, 28, berkata, Sharif Mohd Siddiq mempunyai nilai persahabatan yang cukup tinggi dalam diri.
"Dia (arwah) merupakan sahabat sejati yang senang didampingi, serta punya ramai kawan kerana sikapnya yang peramah dan suka membantu rakan.
"Saya cukup terkejut sebaik menerima berita kematian arwah yang cukup tragis pagi ini," katanya yang mengenali arwah ketika sama-sama mengikuti latihan TUDM di Perak dan mula rapat ketika berpindah di TUDM Kota Samarahan.
Katanya, ketika bertugas arwah seorang yang cukup berani, mempunyai disiplin yang tinggi dan berani bersuara.
Allahyarham Sharif Mohd Siddiq merupakan antara empat anggota TUDM yang terkorban dalam insiden tembak itu yang turut melibatkan Kpl Udara Mohamad Ehsan Sehamat, Kpl Udara Ho Swee Boon dan Laskar Udara (LU) Luk Nesly Anak Nabau.
-- BERNAMA
#kes tembakan TUDM #Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli #maut #Sharif Mohd Saddam #Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak