Seorang inspektor dan dua konstabel polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan berasingan kerana meminta suapan.

Inspektor Isa Ahmad, 30, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor didakwa atas satu pertuduhan meminta RM1,000 daripada Zanariah Mat sebagai dorongan membebaskan Wan Karmizi Muhammad yang ditahan pada 19 Dis 2015.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Penasihat Undang-Undang Nusajaya, di sini, kira-kira 3.30 petang, 23 Dis 2015.

Tertuduh kedua, Konstabel Rhomarino Rafie, 33, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pula berdepan dua pertuduhan meminta RM10,000 dan RM7,000 daripada Zanariah bagi dorongan yang sama.

Dia didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di IPD Johor Bahru Selatan pada kira-kira 2 petang dan di kedai makan berhadapan IPD Johor Bahru Selatan, kira-kira 5 petang, 21 Dis 2015.

Isa dan Rhomarino didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama iaitu penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Tertuduh ketiga Konstabel S. Logeshvaran, 31, yang bertugas di Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Pendas, Gelang Patah, di sini juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta dan menerima suapan RM2,000, pada 2016.

S. Logeshvaran, 31, yang bertugas di Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Pendas, Gelang Patah, di sini, didakwa meminta dan menerima wang itu daripada seorang pekerja asing, S. Ravi sebagai dorongan supaya tidak mengganggu dan menahan mangsa yang tidak mempunyai permit kerja sah.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah stesen minyak di Nusa Perintis, Gelang Patah, di sini, kira-kira 2 petang dan 4.40 petang, 12 Jun lepas.

Logeshvaran, yang isterinya kini sedang mengandung didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Kedua-dua akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan terhadap Isa, Rhomarino dan Logeshvaran, dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ridzuan Abdul Malek.

Isa diwakili peguam Mohd Ashram Zakaria dan Muhammad Ashraf Mohd Diah, Rhomarino diwakili peguam Mohamad Isa Mohamad Basir manakala Logeshvaran tidak diwakili peguam.

Hakim Kamarudin Kamsun membenarkan Logeshvaran dikenakan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan manakala Isa dan Rhomarino, RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 8 Mei untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA