NATIONAL
Inspektor polis didakwa terima rasuah RM23,000

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada 26 Feb 2021. - Gambar/ Bernama
KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM23,000 berkaitan kes dadah yang dikendalikannya empat tahun lepas.
Ringkasan AI
- Inspektor Khairul Faiz Mohamad Zaini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM23,000 berkaitan kes dadah pada tahun 2021.
- Khairul Faiz memohon jaminan rendah atas alasan kerjasama baik dengan SPRM dan keadaan kewangan, dan mahkamah membenarkan jaminan RM7,000 dengan syarat tertentu.
- Kes akan disebut semula pada 18 Jun untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rabiatul Addawiyah Mohd Noorlee memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan atas alasan tertuduh kini telah berpindah dan bertugas di Kedah yang bersempadan dengan Thailand, dan dikhuatiri dia akan melarikan diri ke negara terbabit.
Bagaimanapun, Khairul Faiz yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas beberapa faktor termasuk dia dan isteri telah memberi kerjasama yang baik kepada SPRM sejak ditangkap pada Julai tahun lepas dan sentiasa melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan.
Selain itu katanya, dia yang bergaji kira-kira RM7,000 sebulan mempunyai banyak hutang serta isterinya tidak bekerja.
Hakim Mohd Azhar Othman membenarkan lelaki itu diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan selain perlu melapor diri ke pejabat SRPM terdekat setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Jun ini bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami