KUALA LUMPUR: Dapatan kajian Institut Polisi Awam dan Pengurusan Antarabangsa (INPUMA) Universiti Malaya (UM) mendapati ramai meletakkan institusi agama di posisi terkemudian dalam peranannya membanteras amalan rasuah.

Menerusi kajian “Voices from the Ground: The Corruption Complex in Malaysia”, institusi agama diletakkan pada tangga ketiga di belakang institusi sekolah di tempat kedua dan institusi ibu bapa sebagai entiti terpenting dalam membentuk budaya antirasuah.

“Hanya 57 peratus responden percaya rasuah ada kaitan dengan agama. Ini bererti orang awam tidak melihat institusi agama ni sebagai penting, mereka melihat ia gagal dalam membanteras rasuah.

“Ini datang daripada golongan muda berusia dari 18 hingga 30 tahun, 39 peratus daripada mereka percaya sedemikian dan 29 peratus (daripadanya) adalah golongan Melayu.

“Jadi kenapa kepercayaan kepada institusi agama ini sangat rendah, di mana silapnya?” soal pensyarah Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof Dr Shakila Yacob.

Di ruang komen, responden menyatakan salah guna kuasa turut berlaku dalam institusi agama menyebabkan mereka hilang kepercayaan, dan ia berlaku dalam setiap institusi agama-agama yang ada di negara ini.

Begitupun, daripada dapatan kajian itu juga katanya, sebahagian besar responden yakin institusi itu boleh lakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan.

“Tapi yang memeranjatkan, lebih 90 peratus yakin agama dan tokoh agama dapat memainkan peranan penting dlm membanteras rasuah.

“Jadi ini yang harus kita lihat dan perbaiki keadaannya.”

Tonton temu bual penuh bersama Shakila dalam program Agenda AWANI dihoskan Nazri Kahar, di sini:

Institusi agama patut main peranan dalam bentuk budaya antirasuah - Pakar

Agenda AWANI: Amalan rasuah, satu budaya?