KUALA LUMPUR: Peranan institusi diraja bukan bersifat simbolik, sebaliknya berfungsi sebagai benteng kestabilan negara yang memastikan jentera pentadbiran kerajaan sentiasa berpaksikan integriti serta tadbir urus yang saksama.
Bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata institusi itu juga memainkan peranan sebagai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan pentadbiran negara tidak tersasar daripada landasan sebenar.
Advertisement
Beliau berkata peranan itu, antara lain, diterjemahkan melalui sesi menghadap yang dijalankan sebelum sebarang keputusan atau dasar dibuat pada peringkat Jemaah Menteri atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
“Pengalaman semasa berkhidmat sebagai Pengerusi Bernama, saya berpeluang mendengar perkongsian daripada Raja Perlis yang ketika itu memayungi takhta Yang di-Pertuan Agong mengenai rutin mingguan sesi menghadap Perdana Menteri pada setiap pagi Rabu.
“Setiap Rabu, Seri Paduka Baginda akan menerima menghadap Perdana Menteri dan meneliti set dokumen Jemaah Menteri. Pada waktu itulah, Seri Paduka Baginda mempunyai ruang untuk bertanya secara terperinci mengenai perkara yang terkandung di dalam (dokumen Jemaah Menteri),” katanya.
Mohd Annuar yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak berkata demikian dalam siaran audio siar atau podcast yang disiarkan di YouTube “Jangan Pajak Otak: Eps Pemikir Negara, Institusi Beraja: Benteng Terakhir Rakyat” baru-baru ini.
Beliau turut berkongsi pengalaman pada peringkat negeri apabila menyaksikan rutin sama diamalkan Sultan Perak bersama Menteri Besar sebelum mesyuarat Exco bermula.
“Apabila Menteri Besar selesai menghadap, ada kalanya ada perkara yang dibincangkan itu ditegur atau diminta untuk ditangguhkan dahulu.
“… ini memberikan ruang kepada pihak Istana untuk menegur, menasihati atau meminta taklimat lanjut daripada pegawai berkaitan bagi memastikan setiap keputusan benar-benar difahami dan diperhalusi sebelum dibawa ke peringkat seterusnya,” katanya.
Selain itu, Mohd Annuar berkata peranan signifikan institusi diraja sebagai tonggak kestabilan negara juga terbukti dalam beberapa krisis politik yang melanda negara, bermula dengan kemelut pembentukan Kerajaan Negeri Perak pada 2008.
Beliau berkata peranan institusi itu terus terserlah pada pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi memastikan peralihan kuasa berjalan lancar, selain menjadi penyelesai krisis pembentukan kerajaan melalui cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan susulan situasi Parlimen tergantung selepas PRU15 pada 2022.
Beliau berkata siri peristiwa itu memperlihatkan kedudukan institusi diraja sebagai platform semak dan imbang terakhir yang berkesan dalam meleraikan kebuntuan politik negara.
-- BERNAMA