Institusi Diraja memayungi rakyat dengan keadilan, kebijaksanaan - Khutbah khas

Hasimi Muhamad
Jun 3, 2022 06:08 MYT
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah beramah mesra dengan jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Institusi Diraja telah memayungi rakyat Malaysia dengan keadilan dan kebijaksanaan dalam memastikan keamanan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.
Justeru Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Muhyidin Aziz @ Saari mengingatkan agar rakyat sewajarnya menumpahkan seluruh ketaatan dan kesetiaan sesuai dengan prinsip asas Rukun Negara yang telah dilafazkan sebagai warganegara.
"Alhamdulillah kita dikurniakan seorang sultan berjiwa rakyat, yang menyempurnakan amanah pemerintahan dengan sifat-sifat insani, dan berusaha memastikan keamanan dan kesejahteraan rakyat diutamakan dalam apa-apa jua situasi.
"Semoga kebijaksanaan pimpinan seorang sultan, akan diperkukuhkan dengan nasihat barisan ulama yang tegas dan barisan umara yang ikhlas, akan didukung dengan ketaatsetiaan rakyat yang hidup harmoni, dan lebih utama akan dilimpahi cahaya petunjuk Ilahi.
"Kita juga telah melihat kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang mengambil beberapa keputusan bijak menstabilkan negara dalam menghadapi pasang surut cuaca politik negara dan cabaran ketika negara menghadapi pandemik," katanya, di sini.
Beliau membacakan khutbah khas solat Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.
Hadir sama mengiringi keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Khutbah bertajuk "Dirgahayu Tuanku, Rahmat Selalu" itu turut mengingatkan bahawa sebagai ketua negara, Seri Paduka Baginda merupakan ketua tertinggi Persekutuan yang melaksanakan urusan kerajaan terutamanya menaungi rakyat dengan keadilan dan keprihatinan.
Ia termaktub dalam Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuang Agong adalah ketua negara.
"Alhamdulillah, dalam sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara kita, raja diletakkan pada kedudukan yang paling tinggi dan memiliki fungsi yang bukan sahaja untuk melindungi agama dan negara, tetapi juga menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan seluruh masyarakat," kata Muhyidin membaca khutbah khas itu lagi.
Muhyidin menambah sultan, raja atau khalifah ialah penyambung dan pewaris kepada tugas kenabian untuk menjaga agama dan mentadbir negara.
Perkataan ‘sultan’ yang berasal daripada perkataan Arab, diulang beberapa kali dalam al-Quran dan perkataan-perkataan lain seperti ‘Ulil Amri’ atau ‘Amir’ dan ‘Malik’ yang merujuk jawatan pihak berkuasa dalam sesebuah pemerintahan atau kerajaan.
Khutbah khas hari ini turut mendoakan agar Al-Sultan Abdullah sentiasa diberi kesihatan, kesejahteraan, dan kekuatan dalam mentadbir negara.
Pada Khamis, Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat menghadiri majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda pada Isnin ini.
Majlis itu adalah sebahagian daripada acara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Al-Sultan Abdullah yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.
#khutbah khas #Yang di-Pertuan Agong #Solat Jumaat #ismail sabri yaakob #keputeraan